USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

DUNIA AKADEMIK DISERU BANTU BANGUNKAN THE ISLAMIC UNIVERSITY OF GAZA

Salah satu tempat yang musnah teruk dalam serangan Israel ke atas Gaza ialah The Islamic University of Gaza (IUG).

Justru IUG merayu sumbangan dan bantuan pelbagai pihak untuk memulihkan semula kemusnahan yang dihadapinya.

Menurut Pembantu Profesor Dr. Wesam Ahmed, pihaknya menyeru semua komuniti akademik dan pertubuhan hak asasi manusia, universiti, rakan dan para penyokong dan pendokong kedamaian sejagat untuk bersama-sama menzahirkan perasaan dalam konteks solidariti akademik bagi menghadapi kemusnahan ini dan mendesak agar serangan dan keganasan seperti ini dihentikan segera apatah kepada orang dan institusi awam Gaza serta membantu IUG membangunkan semula institusi pengajian tinggi ini.

Wesam adalah alumni Doktor Falsafah (Ph.D) Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM).

USM juga menandatangani persefahaman untuk menjalankan kerjasama akademik dengan IUG pada tahun lalu.

"IUG dan rakyat Palestin menghargai segala sokongan dan bantuan selama ini serta mengharapkan agar ia akan berterusan demi membangunkan semula Gaza," kata Wesam.

Tambahnya, beliau memohon kepada seluruh masyarakat dunia untuk membantu memulihkan keamanan dan kedamaian Gaza serta kasih sayang akan terjalin untuk kelangsungan masyarakat Palestin dan warga dunia seluruhnya.

Kejadian pada waktu subuh 2 Ogos lalu iaitu hari ke-27 serangan Israel, telah menyebabkan kemusnahan teruk bangunan pentadbiran IUG sebagai nadi pentadbiran yang menempatkan pejabat Presiden IUG, Timbalan-timbalan Naib Canselor, Dekan-dekan fakulti dan pensyarah serta pelbagai pentadbiran universiti tersebut.

Kata Wesam, kejadian tersebut adalah sebahagian usaha terancang dan sistematik Israel untuk memusnahkan hospital, universiti, sekolah, pertubuhan sukarela dan kediaman rakyat Palestin.

"Turut musnah ialah pelbagai kemudahan infrastruktur dan infostruktur termasuk kemudahan komputer yang keseluruhan dianggarkan mencecah USD1.5 juta." kata Wesam dalam mesej yang dihantar melalui aplikasi Whatsapp.

Ditubuhkan pada tahun 1978, IUG menjadi sebuah universiti utama di Gaza yang memberi peluang kepada lebih 20,000 orang pelajar, 63% adalah kaum wanita.

Ia meliputi 11 fakulti yang menawarkan pengajian Sains Perubatan, Pendidikan, Agama, Perniagaan, Undang-undang Syariah Kejururawatan, Sains Kesihatan, Sains dan Teknologi Maklumat. IUG juga telah memenangi pelbagai anugerah pada peringkat antarabangsa. Teks: Mohamad Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 796

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024