USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PROJEK BEKALAN AIR KAMPUNG LANGKOR JADI MODEL CONTOH

100814-1

PULAU PINANG, 11 Ogos 2014 - Projek bekalan air bersih untuk masyarakat orang asli Kg. Langkor, Sg. Siput, Perak akan diangkat menjadi antara projek komuniti contoh yang menepati strategi lautan biru kebangsaan (NBOS).

Projek inisiatif USM tersebut adalah bagi menyalurkan bekalan air bersih kepada penduduk Kampung Langkor yang meliputi 23 buah rumah dengan isi rumah seramai 141 orang.

Kampung Langkor terdahulu adalah salah sebuah kampung orang asli yang masih belum menerima bekalan air bersih dan mereka juga didapati masih menggunakan sumber air dari sungai yang mudah tercemar oleh racun rumpai dan bahan kimia daripada aktiviti pertanian di ladang-ladang kelapa sawit yang berdekatan.

100814-2

NBOS adalah satu inisiatif kerajaan untuk mencari projek-projek institusi pengajian tinggi yang berjaya membangunkan dan memberi impak besar kepada komuniti untuk diketengahkan dan menjadi contoh kepada projek-projek lain.

Ketua Setiausaha II, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang berkata, pihaknya akan menerbitkan kejayaan projek Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam (PPKA) itu ke bentuk dokumentari video.

Katanya, penerbitan itu akan dibentangkan dalam mesyuarat bersama Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Razak bagi menonjolkan sumbangan universiti ke arah memperkasakan komuniti khususnya masyarakat kurang berkemampuan.

100814-3

``KPM mahu projek ini menjadi contoh kepada semua pihak untuk menjalankan inisiatif serupa bagi pembangunan luar bandar. KPM amat berpuas hati melihat kejayaan dan perkembangan projek ini yang memberi impak kepada komuniti orang asli di sini.

`` Kita tidak lagi mahu pakar-pakar atau cendekiawan kita hanya berada di menara ilmu semata-mata. Universiti bertanggungjawab membawa kepakaran yang ada ke tempat-tempat sebegini bagi membantu menambahbaik kelangsungan hidup masyarakat di sini,’’ katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika mengadakan lawatan kerja ke Projek Bekalan Air Untuk Masyarakat Kurang Mampu Kg. Langkor, Sg. Siput, Perak, di sini semalam. Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Lintang, Bahagian Sungai Siput, Dato' Mohd. Zolkafly Harun.

Turut menyertai lawatan itu ialah Pengarah Institut Perubatan dan Pergigian Termaju USM, Profesor Abd. Aziz Tajuddin yang mewakili Naib Canselor, Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Profesor Dr.  Ahmad Farhan Mohd Sadullah dan pegawai-pegawai kanan agensi kerajaan.

Projek yang diketuai oleh pensyarah PPKA, Prof. Ir Dr Hj Mohd Nordin Adlan itu adalah satu program yang sangat berpotensi dikembangkan (replicated) di kawasan / komuniti lain.

Selain daripada kejayaan membekalkan air bersih kepada penduduk kurang mampu, projek ini mempunyai nilai-nilai libatsama komuniti yang sangat tinggi serta berkemampuan di jadikan sebagai salah satu projek “flagship” yang boleh dikongsi USM dengan pihak-pihak yang berkaitan seperti institusi pengajian tinggi dalam negara serta luar negara serta agensi-agensi kerajaan mahupun agensi bukan kerajaan, khususnya di rantau Asia Pasifik atau Asia Tenggara.

Projek bekalan air ini mempunyai keunikannya yang tersendiri, antaranya menggunakan Penuras Kasar Aliran Mendatar yang pertama kali dibina di Malaysia dan media batu kapur yang pertama kali dibina untuk sistem penurasan.

Penuras ini juga telah dapat mengeluarkan air bersih untuk digunakan secara berterusan tanpa gangguan selain membantu mendidik masyarakat orang asli kaum temiar menyelenggara dan memperkasa sistem ini dengan bantuan kepakaran dari USM.

Kampung Langkor mengandungi 23 buah rumah dengan isi rumah seramai 141 orang. Aktiviti ekonomi utama masyarakat di sini adalah bekerja sendiri dan bekerja di ladang kelapa sawit yang berdekatan.Teks:Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd Azrul Azhar

  • Created on .
  • Hits: 1385

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024