KEPAKARAN DIIKTIRAF: USM WAKILI NEGARA DALAM RANGKAIAN ASEAN
PULAU PINANG, 11 Ogos 2014 - Walaupun secara geografinya tidak berada di kedudukan Lembah Sungai Mekong, kepakaran ahli-ahli akademik di Universiti Sains Malaysia (USM) membolehkan Universiti ini menjadi wakil tunggal bagi kerjasama serantau dalam pengurusan dan ekologi Lembah Mekong.
Dengan panjang sungai sehingga 4,700 kilometer (km), Sungai Mekong menjadi antara sungai terpanjang di dunia dan kedua terkaya dari aspek biodiversiti selepas Sungai Amazon serta menjanjikan penerokaan dunia ilmu yang cukup besar khususnya untuk para saintis.
Penglibatan USM secara tidak langsung dalam kerjasama yang dikenali sebagai Wetland University Network (WUN) itu juga dilihat sebagai peluang yang akan membuahkan manfaat besar dalam pembangunan bidang ilmu.
Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kajihayat USM, Profesor Dr. Mashhor Mansor berkata, kepakaran USM dalam bidang alam sekitar membolehkannya terpilih menyertai rangkaian 20 universiti terpilih dari negara-negara Asean yang mempunyai lembah sungai dan tanah lembap termasuk China, Myanmar, Laos, Kemboja, Thailand dan Vietnam.
Katanya, penyertaan USM dalam rangkaian pintar itu akan membolehkan USM memperoleh manfaat dalam mengkaji kepelbagaian biodiversiti dan memahami ekologi lembah Mekong yang menjadi antara tarikan banyak pihak, termasuk negara-negara yang berada di sepanjang sungai tersebut.
``USM mempunyai kepakaran terbaik dalam bidang tanah lembap dan menjadi satu penghormatan buat Malaysia apabila kepakaran tempatan digunapakai dalam pengurusan alam semulajadi dunia seperti yang berlaku melalui kerjasama itu.
``USM juga boleh mendapatkan kerjasama serantau dalam membangunkan kajian secara terperinci berkenaan Lembah Mekong, sekaligus dapat mengangkat saintis-saintis negara ke persada lebih tinggi khasnya dalam bidang alam sekitar,’’ ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika ditemui bersama-sama rakan sejawatnya dari Cantho University, Vietnam merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Wetland University Network (WUN), Profesor Dr. Duong Van Ni.
Duong pula berkata, pihaknya memandang tinggi kebolehan saintis USM dalam memajukan bidang penyelidikan tanah lembap dan berharap USM dapat memberi sumbangan signifikan ke arah membina kapasiti dalam bidang berkaitan.
Beliau yang mempunyai pengalaman selama 35 tahun khususnya dalam kajian berkaitan tanah lembap dan Lembah Mekong juga berkata, pihaknya mempunyai harapan besar untuk melihat kerjasama tersebut dapat menyumbang kepada pembangunan kapasiti kepada negara-negara terlibat.
``Kita amat berharap lebih banyak program khusus dapat dijalankan dalam kalangan negara-negara terlibat dan Malaysia juga dapat memainkan peranan lebih besar melalui penglibatannya dalam kerjasama serantau ini.
``Kita juga melihat beberapa usaha terdekat yang ingin direalisasikan termasuk menambah bilangan pelajar pasca siswazah dalam bidang berkaitan, mewujudkan pengkalan data menyeluruh berkaitan pengurusan dan ekologi Lembah Mekong, menubuhkan muzium khas dan pelbagai lagi,’’ ujar beliau. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mina Seifi
- Created on .
- Hits: 1061