USM TERIMA PELAJAR BAHARU RPJJ: SISTEM KURIKULUM BAHARU DIPERKENAL
PULAU PINANG, 12 Ogos 2014 – Universiti Sains Malaysia (USM) menerima seramai 1530 pelajar baharu bagi Rancangan Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) yang terpilih mengikuti pengajian dalam beberapa bidang di sini, hari ini.
Daripada jumlah tersebut, pelajar yang ditawarkan dalam jurusan Pengurusan menunjukkan bilangan terbanyak iaitu 516, diikuti Sains Kemasyarakatan (404), Sains (386) dan Sastera seramai 224.
Kemasukan pelajar PJJ pada kali ini juga turut disertai dua Orang Kelainan Upaya (OKU) masing-masing berasal dari Perak dan Johor.
“Untuk program PJJ kali ini, kita telah menukar sistem kurikulum yang baharu bersesuaian dengan perkembangan yang diperlukan oleh organisasi iaitu sebanyak 120 unit pengijazahan seperti pelajar sepenuh masa,” kata Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman dalam Majlis Sambutan Siswa dan Lafaz Ikrar Pelajar Baharu Pusat Pendidikan PJJ USM di sini hari ini.
Beliau juga berkata, bilangan pelajar yang menunjukkan minat dalam bidang Sains dan Pengurusan semakin meningkat jika dilihat kepada peningkatan dalam jumlah permohonan yang diterima oleh USM dalam bidang tersebut.
"Jika dilihat pada perubahan trend mereka yang mendaftar, dahulunya kebanyakan pelajar PJJ terdiiri daripada golongan guru namun kini lebih kepada golongan industri dan pegawai kerajaan.
“USM tidak berhasrat untuk menambah bilangan pelajar yang ditawarkan ke sini untuk masa akan datang kerana kita lebih mementingkan kualiti daripada kuantiti,” katanya lagi.
Menyentuh mengenai keputusan semakan program Ijazah Sarjana Pertama sepenuh masa yang dijadualkan keluar jam 12.00 tengahari ini, Omar berkata sebanyak 5300 orang telah ditawarkan ke USM daripada jumlah permohonan sebanyak 21000 orang.
Omar menasihati dan berharap para pelajar mampu membuat pilihan yang bijak untuk menentukan masa depan masing-masing.
Tambahnya lagi, bagi mereka yang tidak mendapat tawaran ke USM, mereka boleh membuat rayuan permohonan namun ianya adalah tertakluk kepada kekosongan tempat di USM.
Bagi mereka yang mempunyai kes-kes khas yang memerlukan rujukan, para pelajar boleh menghubungi Bahagian Kemasukan Pelajar USM untuk maklumat lanjut. Teks: Suhaili Mohd Zaini dan Nur Atiqah Dalbadalsa Merican/ Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1286