DARI PEKERJA RENDAH AWAM KE MENARA ILMU
PULAU PINANG, 13 Ogos 2014 – Disiplin dan semangat untuk menimba ilmu membolehkan seorang warga emas yang memulakan kerjaya sebagai pekerja rendah awam gred N1 kini bergelar mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM).
R. Raja They Singh, 54, menyertai sejumlah 1530 pelajar baharu bagi Rancangan Pendidikan Jarak Jauh (RPJJ) yang terpilih mengikuti pengajian dalam beberapa bidang di sini, hari ini.
Lebih manis, Raja telah dipilih mengetuai bacaan ikrar sebagai warga USM berdaftar di hadapan pegawai-pegawai utama Universiti termasuk Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman.
Raja berkata, beliau sememangnya berminat untuk melanjutkan pengajian ke menara ilmu untuk kepuasan dirinya di samping memberi contoh yang baik kepada anak tunggalnya untuk terus menimba ilmu.
Hasil perkahwinannya dengan S. Kalarani, 50, pasangan tersebut dikurniakan seorang anak perempuan, R. Thanggaai, 12, yang kini sedang belajar di tahun enam Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (T) Mak Mandin, Butterworth.
Raja berkata, pergaulannya dengan pegawai atasan di tempat kerjanya, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang telah membuatkannya tergerak hati untuk menimba ilmu, apatah lagi melihat hanya dengan ilmu seseorang boleh mengubah nasib masing-masing.
``Saya mencari kepuasan diri. Saya bergaul dengan banyak orang termasuk para peguam. Mereka semua memberi semangat kepada saya untuk menimba ilmu dan menyokong usaha saya untuk menyambung pengajian,’’ katanya.
Mengulas mengenai cabaran bergelar pelajar pada usia beliau, Raja berkata:``Saya tidak akan berpatah balik dan percaya dengan disiplin yang kuat dan perancangan masa yang betul membolehkan saya mengikuti jadual pembelajaran dengan baik.
``Saya juga akan sentiasa bergaul dengan rakan sekuliah dan menyertai kumpulan perbincangan bagi memastikan saya tidak tercicir dengan mereka,’’ ujarnya yang kini telah dinaikkan pangkat ke jawatan Pembantu Operasi (N11). Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 900