USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KEKURANGAN FIZIKAL TIDAK HALANG PELAJAR OKU UNTUK BERJAYA

DSC 4395

PULAU PINANG, 12 Ogos 2014 - Ketidakupayaan fizikal bukan menjadi penghalang kepada pelajar Rancangan Pendidikan Jarak Jauh (RPJJ) berstatus Orang Kelainan Upaya (OKU) untuk bergelar mahasiswa universiti seperti pelajar normal yang lain.

Muhamad Khusairi Abu Bakar, 32, merupakan salah seorang daripada 1530 orang pelajar yang terpilih untuk menyertai RPJJ di Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang Sains Kemasyarakatan.

“Saya mengesyorkan kepada golongan pelajar OKU untuk melanjutkan pelajaran di USM kerana kemudahan di sini lengkap dan juga mesra OKU,” katanya.

Anak ketiga dari tujuh orang adik-beradik ini dilahirkan dalam keadaan normal namun berketidakupayaan untuk berjalan secara normal ketika berusia 4 tahun akibat terjatuh ketika memanjat pokok.

DSC 4257

Khusairi adalah pemegang Diploma Pentadbiran Awam (Jarak Jauh) dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seri Iskandar, Perak dan baru sahaja bergraduasi pada bulan November lalu.

Khusairi mula bekerja pada tahun 2005 sebagai kerani di sebuah agensi di bawah Kementerian Pertanian & Industri Asas Tani iaitu Projek Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kerian, Perak.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada ketua jabatan saya yang sangat membantu dari segi menyediakan pengangkutan untuk saya ke sini dan ke tempat kerja serta memberikan galakan untuk saya teruskan pelajaran,” ujar Khusairi.

DSC 4402

Seorang lagi pelajar OKU yang berdaftar hari ini ialah Mohamad Zulhelmie Juma’at, 24. Zulhelmi membesar seperti kanak-kanak normal yang lain sehinggalah umurnya 15 tahun, beliau disahkan mengidap Proximal Myopathy Complicated with Scoliosis yang mana penyakit ini menyebabkan otot-otot menjadi lemah dan tidak dapat berfungsi dengan baik sehingga menyebabkan beliau terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak dan menguruskan diri.

DSC 4275

“Saya sangat bersyukur diterima masuk ke USM dan akan belajar bersungguh-sungguh,” kata Zulhelmi yang berasal dari Batu Pahat ketika bertemu Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman selepas Majlis Sambutan Siswa dan Lafaz Ikrar Pelajar Baharu di sini hari ini.

“Saya berharap beliau menggunakan peluang yang ada ini untuk membuktikan kemampuan beliau dalam bidang pelajaran,” ujar Juma’at Md Salleh,56  bapa Mohamad Zulhelmie yang bekerja sebagai Pekerja Rendah Am di Kem Mahkota, Kluang di bawah Kementerian Pertahanan Malaysia.

DSC 4348

Juma’at menemani anak bongsu dari dua beradik itu sepanjang minggu orientasi di sini bagi membantu menguruskan keperluan Zulhelmi yang menyambung pengajian dalam bidang Sains Kimia. Teks: Suhaili Mohd Zaini dan Nor Rafizah Md Zain / Foto: Mohd Fairus Md Isa 

  • Created on .
  • Hits: 1425

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024