DR. NORMALA PENGARAH BAHARU PUSAT SEJAHTERA
PULAU PINANG, 12 Ogos 2014 - Semasa memperkenalkan pegawai-pegawai utama USM di atas pentas dalam Majlis Sambutan Siswa Lestari Pengajian Jarak Jauh di Dewan Tuanku Syed Putra, Naib Canselor Profesor Dato' Dr. Omar Osman telah memperkenalkan Dr. Normala binti Abdul Wahid sebagai Pengarah Pusat Sejahtera USM berkuatkuasa mulai 11 Ogos 2014 hingga 31 Disember 2015.
Normala, 51, telah berkhidmat selama 14 tahun di USM. Beliau pernah berkhidmat di Hospital Pulau Pinang dan Hospital Balik Pulau Pulau Pinang. Beliau mendapat ijazah Doktor Perubatan dari Universiti Malaya (1988) dan Sarjana dalam bidang Perubatan Komuniti dari UKM (1995).
Anak sulung dari 3 beradik yang semuanya perempuan itu dilahir dan dibesarkan di Georgetown Pulau Pinang. Bapanya adalah seorang pekerja di Kereta Api Tanah Melayu (KTM).
Ditanya perasaannya, Normala berkata, beliau bersyukur dengan pelantikannya sebagai Pengarah Pusat Sejahtera USM dan terhutang budi kepada Dr. Nurulain yang menerajui Pusat Sejahtera sebelum ini dan Naib Canselor yang menyakini kemampuannya.
"Saya tidak sangka dengan kepercayaan universiti serta amat berterima kasih dengan pelantikan ini dan berharap melakukan yang terbaik kepada warga USM dan masyarakat seluruhnya dalam merealisasikan maksud Pusat Sejahtera," kata Normala.
Tahniah dan moga Pusat Sejahtera terus berupaya mensejahterakan warga USM.
- Teks: Mohamad Abdullah/Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 2283