PEMIMPIN PERLU INTEGRITI TINGGI, TAN SRI MUSTAFA MANSUR
PULAU PINANG, 12 Ogos 2014 - Sifat kepimpinan terpenting yang perlu ada pada seseorang pemimpin atau sesiapa yang ingin menjadi pemimpin ialah integriti, kata Pro-Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Tan Sri Datuk Mustafa Mansur yang juga seorang tokoh korporat negara yang dikagumi.
Berucap ketika merasmikan The 2nd ASEAN Future Leaders Summit 2014 (AFLES 2014) di sini hari ini, beliau berkata, “Seseorang pemimpin yang beretika dan berintegriti tinggi akan sentiasa dihormati oleh orang di bawah pimpinannya, tidak kira sama ada yang dipimpinnya itu sebuah organisasi kecil, komuniti besar, universiti, negeri mahupun negara, dan sifat inilah yang saya ingin lihat ditanam dan diasah dalam diri saudari-saudara sekalian yang merupakan bakal pemimpin dunia suatu hari kelak.”
“Selain integriti, seorang pemimpin juga perlu sanggup membuat pengorbanan diri demi kepentingan orang lain terutamanya orang di bawah pimpinannya, dan melihat kepada keseluruhan organisasi dan bukannya setakat kepentingan diri sendiri sahaja,” tambah Mustafa Mansur.
AFLES 2014 yang berlangsung selama 10 hari dari 8 hingga 17 Ogos 2014 dianjurkan oleh Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT), Prince of Songkla University (PSU) Thailand dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), yang mana diadakan secara berurutan bermula di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan berakhir di Hat Yai Thailand.
Antara objektif AFLES adalah untuk membangunkan platform komunikasi dalam kalangan pemimpin pelajar di samping menyebarkan transformasi kepimpinan dan persediaan dalam kepimpinan sosial.
Ia juga bertujuan untuk mewujudkan satu jaringan (networking) yang dapat mengukuhkan kerjasama sedia ada dan pembelajaran rentas budaya (cross cultural learning) dalam kalangan pelajar yang mempunyai potensi besar menjadi pemimpin dari institusi-institusi pengajian tinggi di rantau ASEAN.
AFLES kali kedua ini berjaya menghimpunkan kira-kira 150 peserta yang terdiri daripada para pelajar ijazah pertama dan pasca siswazah dari 9 buah negara ASEAN iaitu Indonesia, Brunei, Thailand, Vietnam, Laos, Cambodia, Filipina, Myanmar dan Malaysia. Singapura tidak dapat menghantar wakil pelajar ke program kali ini walaupun ia menyokong kuat program tersebut.
Sementara itu, Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata beliau berasa berbesar hati dan gembira melihat program ini mendapat sambutan yang begitu menggalakkan, dan memberi kepastian bahawa USM akan terus menyokong penganjuran AFLES pada masa-masa yang akan datang.
“Jadikanlah program ini sebagai suatu platform untuk mengasah bakat kepimpinan supaya apabila sudah tiba masanya, anda benar-benar bersedia untuk memimpin dan menerajui negara,” kata Omar kepada peserta-peserta AFLES.
Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal, Pengarah Pejabat Antarabangsa USM Profesor Madya Dr. Anees Janee Ali, dan Profesor Kunjungan Bahagian Ekonomi Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Professor Dato' Dr. Jamaludin Sulaiman. - Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 1415