TAWARAN HICoE: REDAC SEDIA GALAS TANGGUNGJAWAB BANTU ATASI MASALAH SISTEM SALIRAN BANDARNEGARA
PULAU PINANG, 13 Ogos 2014- Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sungai dan Saliran Bandar (REDAC) Universiti Sains Malaysia (USM) sentiasa bersedia untuk menggalas tanggungjawab lebih besar dalam menunaikan tanggungjawabnya dengan menggunakan kepakaran yang ada untuk membantu meningkatkan kualiti saliran bandar dan menghadapi cabaran-cabaran yang berkaitan di negara ini.
Demikian dinyatakan oleh Pengarah REDAC, Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria sebagai mengulas tawaran Kementerian Pendidikan Malaysia untuk penarafan REDAC sebagai Pusat Kecemerlangan Pengajian Tinggi (HICoE) Teras Perkhidmatan yang pertama di negara ini dalam bidang tujahan Pengurusan Saliran Bandar Lestari (Sustainable Urban Stormwater Management) dalam surat Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Jabatan Pengajian Tinggi Dato’ Profesor Dr. Asma Ismail kepada Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman baru-baru ini.
Menyambut baik tawaran tersebut, Nor Azazi berkata, ini adalah penghormatan tinggi kepada USM khususnya terhadap kepakaran yang ada bagi membolehkan usaha lebih luas dilakukan untuk membantu menghadapi pelbagai isu saliran bandar yang ada di negara ini, apatah lagi jika diberikan kepercayaan untuk menguruskan sistem saliran bandar yang ada secara menyeluruh.
REDAC ditubuhkan pada tahun 2001 yang bermula pada tahun 1997 sebagai pusat maya di Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam Kampus Kejuruteraan sebagai Unit Kejuruteraan Sungai dan Saliran Bandar (UKSSB) sebelum dinaiktaraf melalui proses kelulusan Majlis Pusat Pengajian dan Senat, Lembaga Pengajian sebelum diperakukan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (ketika itu) sebagai Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sungai dan Saliran Bandar.
Satu memorandum persefahaman (MoU) antara USM dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah ditandatangani pada 1999 dengan objektifnya untuk menjalin kerjasama pintar bagi membangunkan teknologi terkini dalam pengurusan sungai dan saliran bandar.
Penubuhan Pusat Kecemerlangan REDAC juga adalah selaras dengan hasrat menjadikan USM sebagai pusat serantau dalam bidang pengurusan sungai dan saliran bandar khususnya dalam pembangunan sistem saliran mesra alam bagi mengatasi permasalahan yang dihadapi.
Kata Nor Azazi, REDAC adalah satu-satunya yang ada di negara ini yang berfokuskan kepada penyelidikan kejuruteraan dan pengurusan saliran bandar yang tumpuannya kepada usaha mentransformasikan sistem saliran bandar bagi menangani pelbagai isu penting yang ada.
Isu-isu tersebut termasuklah banjir dan banjir kilat di bandar, isu kekurangan air pada masa-masa tertentu dan menyelesaikan masalah pencemaran sungai secara holistik dengan hasrat akhirnya untuk membangunkan eko-pelancongan di negara ini jika segala isu yang berkaitan dapat diselesaikan seperti mana di negara-negara maju.
Ini merupakan satu agenda penting dalam negara untuk menambah pendapatan melalui eko-perlancongan sebagaimana yang berjaya dilakukan oleh negara-negara maju dan negara-negara serantau.
Sekiranya perkara ini boleh dilakukan secara menyeluruh di peringkat kebangsaan, ianya dapat menjadi tarikan kepada pelancong untuk meneroka eko-perlancongan dalam negara ini demi menambahkan pendapatan negara menjelang Malaysia mencapai negara maju pada tahun 2020 yang tidak lama lagi, sekitar 6 tahun dari sekarang.
“Di sebalik kekangan yang ada termasuk bilangan staf yang kecil dan dana yang kurang mencukupi, REDAC tetap berusaha mencapai matlamat ini melalui pengalaman luas yang termasuk pengalaman membangunkan projek-projek mini hidro yang mendedahkan kami sebagai usahawan, meliputi juga dalam kerja perancangan, baik pulih sistem empangan dan menyelaras projek dan rekabentuk serta kontrak binaan yang akhirnya ilmu dan pengalaman yang ada ini digunakan sebaik mungkin hingga berjaya memungut dana sebanyak lebih RM20 juta sejak 2001 dalam bentuk pelbagai geran penyelidikan terutamanya dari luar, kerja perundingan serta pelbagai aktiviti akademik lain yang diadakan secara berterusan.
Ini menjadikan kami sebagai salah satu ahli dari "million dollar club" yang dianugerahkan oleh Usains Holding secara berterusan sejak 10 tahun lalu,” kata Nor Azazi lagi.
Tambahnya lagi, masalah besar yang dihadapi ialah apabila program-program kesedaran yang dibuat oleh pelbagai pihak dilakukan secara bermusim kerana ia melibatkan kos yang sangat besar apatah lagi jika ingin dilakukan secara holistik.
“REDAC bersedia memikul tanggungjawab ini terutamanya dalam meningkatkan kesedaran orang ramai, melakukan kerja-kerja perundingan dan berkongsi kepakaran jika diberi peluang lebih besar oleh pihak berkuasa mahu pun mana-mana agensi yang berminat,” kata Nor Azazi.
Pada masa ini REDAC telah menjayakan projek pilot sistem saliran mesra alam ini di Kampus Kejuruteraan USM Nibong Tebal yang memberi ketenangan dan dapat dirasakan kelainannya oleh mereka yang berada di sekitarnya termasuk dalam isu yang berkaitan pencemaran dan pembuangan sampah sarap di dalam saliran dan sehingga kini kekal sebagai peneraju di dalam merekabentuk projek-projek berasaskan teknologi hijau di negara ini.
“Orang mungkin tidak sedar apa yang memberikan ketenangan itu, dengan kehijauan dan lanskap alam sekaligus pembangunan lanskap menyeluruh yang dapat membantu menzahirkan kesejahteraan dalam masyarakat sekitar,” kata Nor Azazi lagi merujuk kepada kejayaannya dalam membantu Klinik Kesihatan (KK2) Taiping, antara projek yang begitu berjaya dan lestari yang dapat membolehkan warga kerja dan pesakit merasai kelainan.
REDAC juga diberi kepercayaan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk turut serta dalam usaha menjadikan Hospital Bahagia Tanjung Rambutan mempunyai lanskap dan sistem saliran yang lebih lestari.
“Pada masa ini, kami juga turut serta dalam projek pembangunan perbandaran ikonik Kwasa Damansara yang tempoh pembangunannya lebih kurang 20 tahun yang dilantik oleh pemaju induknya Kwasa Land Sdn bhd, juga anak syarikat milik penuh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Projek tersebut mensasarkan perlaburan tidak kurang dari RM50 bilion yang melibatkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan Majlis Bandaraya Shah Alam dengan saiz kawasan pembangunan seluas 2,300 ekar dengan USM dilibatkan sebagai satu kumpulan perunding untuk mensasarkan teknologi hijau.
Hasil kejayaan ini turut dikongsikan dalam penglibatan kepakaran REDAC yang turut dijemput mengambil bahagian dalam persidangan yang berkonsepkan teknologi hijau di pelbagai negara” tambah Nor Azazi.
Nor Azazi yakin, REDAC dapat memainkan peranan lebih besar dalam usaha ini pada masa hadapan dan bersedia mengorak langkah untuk terus membuktikan keunggulannya melalui kerja keras, komitmen dan kepakaran yang ada, apatah lagi dengan tawaran penarafan oleh Kementerian Pendidikan ini.Teks: Mohamad Abdullah/ Foto: Mohd Fairus Md. Isa/REDAC
- Created on .
- Hits: 1302