USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM SEDIA PERTINGKAT KERJASAMA DENGAN PTNJ

13082014 - 1

PULAU PINANG, 14 Ogos 2014 – Universiti Sains Malaysia (USM) bersedia untuk memperluaskan kerjasama dengan Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ) meliputi penyelidikan dari bidang sains hayat, arkeologi dan pelancongan yang melibatkan semua taman negara yang tertelak dalam negeri Johor.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, kerjasama tersebut penting dalam usaha kedua-dua pihak merealisasikan hasrat untuk pemuliharaan dan pengurusan hutan serta taman negara secara mapan untuk diwariskan pada masa depan.

Katanya, dalam keadaan dunia yang diancam bencana dan kepupusan hutan akibat penerokaan secara tidak terkawal dan lonjakan perindustrian, usaha-usaha ke arah pemuliharaan dan pengurusan hutan amat kritikal untuk ditangani.

"Dengan kerjasama seumpama ini (USM-PTNJ), kajian dan penyelidikan yang dijalankan dapat membekalkan maklumat yang diperlukan oleh pihak bertangungjawab seperti kerajaan negeri Johor dan Malaysia amnya untuk menggubal dasar dan polisi dengan lebih baik.

"Pihak bertanggungjawab juga dapat merancang usaha pengurusan mapan taman negara bagi menjamin kesejahteraan hutan dan manusia,’’ katanya ketika berucap dalam majlis perasmian Seminar Saintifik Taman Negara Johor USM-PTNJ 2014 di sini semalam.

Seminar tersebut dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Datuk Ayub Rahmat. Turut hadir ialah Pengarah PTNJ, Suhairi Hashim dan Dekan Pusat Pengajian Sains Kajihayat (PPSK), Prof. Madya Dr. Ahmad Sofiman Othman.

Dengan tema Unravelling Biodiversity for Future Generations, seminar tersebut menjadi rentetan kepada beberapa siri ekspedisi saintifik yang telah dijalankan oleh USM dengan kerjasama PTNJ di Taman Hutan Lagenda, Taman Negara Johor Gunung Ledang.

Ia turut menjadi kesinambungan kepada pemeteraian memorandum persetujuan (MoA) oleh kedua-dua pihak pada 2012.

Dalam pada itu, Ayub pula berkata penganjuran seminar seumpama itu membolehkan negara menyerlahkan penemuan dan penerokaan khazanah bernilai tinggi yang ada di negara ini, selaras dengan status Malaysia sebagai salah satu dari 12 kawasan mega-diversiti yang diiktiraf dunia.

"Pemuliharaan biodiversiti telah dijadikan agenda nombor satu dunia kerana sering kali menjadi topik utama dalam perbahasan mengenai isu-isu alam sekitar dalam arus pembangunan modernisasi.

"Kita tidak menolak pembangunan kerana ia penting untuk kelangsungan hidup masyarakat namun isu ini perlu diberi perhatian supaya pembangunan itu tidak mengancam persekitaran untuk diwariskan kepada generasi masa hadapan,’’ ujarnya.

Tambah beliau, penglibatan dan sumbangan penyelidik daripada seluruh negara amat diperlukan, selain menjadi usaha murni dalam membangunkan penyelidikan dan memastikan segala penemuan khazanah biodiversiti dapat dikongsi dengan semua.

Dalam majlis yang sama, Ayub turut melancarkan buku mewah bertajuk Biodiversity of Gunung Ledang: Mountaineering The Nature, sebuah penerbitan yang berjaya dihasilkan melalui kerjasama yang terjalin antara USM-PTNJ.

Buku tersebut mengandungi maklumat berkaitan Gunung Ledang beserta sejarah kepelbagaian bio dan informasi yang menarik meliputi topik rotan, amfibia, reptilia, burung, haiwan mamalia kecil, kepelbagaian flora dan sebagainya. Teks: Marziana Mohames Alias / Foto: Mohd Fairus Md Isa 

  • Created on .
  • Hits: 788

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024