USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

E-UNDI: SEBAHAGIAN INISIATIF E-USM UNTUK PERTINGKATKAN KECEKAPAN DAN KEBERKESANAN PROSES KERJA

DSC 4712

PULAU PINANG, 14 Ogos 2014 – E-undi Senat, proses pengundian secara elektronik diperkenalkan oleh Universiti Sains Malaysia (USM) pada tahun ini bagi pemilihan ahli Senat untuk tempoh tiga tahun  2014-2017 dalam kalangan profesor sepenuh masa. 

Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, pemilihan secara e-undi Senat dapat mengurangkan proses kerja dan guna tenaga serta semua pemilih dapat mengundi walau di mana berada dan ianya sepatutnya menjadi contoh kepada semua dalam menjayakan inisitaif e-USM untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan proses kerja yang ada.

DSC 4741

Ditemui di pejabatnya semasa diberikan taklimat terakhir dan menunaikan tanggungjawabnya mengundi, Omar berkata secara peribadi dan bagi pihak Universiti mengucapkan terima kasih kepada semua Ahli Senat bagi penggal 2011-2014 yang telah menjalankan tugas dengan baik serta membantu dalam pengurusan universiti.

USM memperkenalkan pemilihan ahli Senat dalam kalangan profesornya pada tahun 2011 sebagai satu inisiatif baharu di bawah Program Pemacuan untuk Kecemerlangan (APEX) yang diisytiharkan kerajaan pada 2008 sebagai satu usaha menghasilkan tadbir urus yang baik. Senat adalah badan tertinggi akademik universiti.

DSC 4702

“Ahli Senat penting kepada universiti kerana mereka juga  dipilih untuk menganggotai jawatankuasa-jawatankuasa  yang akan membantu menguruskan pentadbiran universiti dan memastikan hala tuju Universiti dalam akademik dan penyelidikan tercapai,” tambah Naib Canselor.

Ujar Naib Canselor, pada masa kini tahap kepercayaan pengguna kepada sistem elektronik perlu dipertingkatkan ke semua peringkat kerana bukan sahaja dapat meningkatkan kecekapan proses kerja malah ia dibina berasaskan  kepada sistem pintar yang seharusnya boleh dipercayai dan diyakini keputusannya.

“Kita sebenarnya tidak mempunyai banyak pilihan pada masa hadapan, sama ada kekal dengan kaedah konvensional atau melangkah ke hadapan dengan mengikis keraguan terhadap sistem elektronik atas talian seperti ini seperti mana berkembangnya sistem elektronik dalam perbankan dan urusan perniagaan lain pada ketika ini,” kata Omar.

Tambah Naib Canselor, ini juga akan menguji tahap kebolehpercayaan, keyakinan dan kebijaksanaan kita dalam menguruskan hal ini malah menjadikan ia sebagai satu proses kerja yang dapat membantu meningkatkan kecekapan dan mengurangkan pembaziran apabila bercakap serta melaksanakan  pengurusan dan pentadbiran kejat.

DSC 4753

Turut mengundi pemilihan ahli Senat bersama Naib Canselor ialah Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar, Profesor Dr Adnan Hussein.

“Pemilihan secara atas talian memberikan privasi kepada pemilih dan membantu membuat pilihan yang rasional dan teliti berbanding secara manual yang mungkin memberikan tekanan kepada pemilih atau pengundi,” ulas Adnan yang juga seorang yang arif dari aspek komunikasi.

Beliau juga berpendapat  tidak mustahil undian atas talian akan menjadi pilihan pada satu masa nanti untuk pelajar memilih anggota Majlis Pewakilan Pelajar USM.

“Masalahnya ialah terdapat segelintir meragui sesuatu sistem elektronik secara atas talian kerana tidak nampak secara fizikal seperti mana proses pengundian biasa melalui peti undi yang menyebabkan timbul prasangka dan keraguan terutamanya dalam kalangan pelajar seperti mana yang berlaku dalam e-kiraan semasa proses pemilihan MPPUSM tahun lalu,” jelas Adnan.

Tambahnya lagi, sudah sampai masanya untuk kita mendidik masyarakat termasuk pelajar untuk menerima kaedah elektronik ini secara lebih meluas dengan meningkatkan keyakinan dan mengurangkan kesangsian walau pun bilangan yang merasai sedemikian hanya segelintir namun ia perlu diatasi kerana banyak kebaikan yang ada dan menjimatkan tenaga dan masa dalam melaksanakan proses-proses kerja seperti ini.

DSC 4727

Pendaftar selaku Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Profesor Sebagai Ahli Senat, Siti Zubaidah A. Hamid berkata,  USM adalah institusi pertama di Malaysia yang mengadakan pemilihan profesor sebagai Ahli Senat menerusi kaedah pengundian bermula pada tahun 2011 bagi pelantikan 2011-2014 dan kali ini melaksanakan proses undian dan pemilihan secara elektronik.

Untuk penggal 2014-2017 ini, sebanyak 28 kerusi pusat pengajian/institut/pusat dan 15 kerusi kampus dipertandingkan melalui 133 orang calon dalam kalangan profesor sepenuh masa.  Jumlah pemilih adalah seramai 535 orang yang terdiri daripada profesor dan profesor madya  sepenuh masa yang dilantik secara tetap dan kontrak.

“Saya berharap proses pengundian secara elektronik ini akan berjalan lancar dan keputusan penuh pemilihan tersebut ditutup jam 4.30 petang dan dijangka diumumkan keesokan harinya manakala surat pelantikan akan dikeluarkan bermula minggu hadapan,” kata Siti Zubaidah. Teks: Nor Rafizah Md. Zain/ Foto: Mohd Fairus Md. Isa​

  • Created on .
  • Hits: 1136

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024