USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

BANTUAN TERUS DIHULUR

DSC 4680

PULAU PINANG, 13 Ogos 2014 – Warga Universiti Sains Malaysia (USM) menzahirkan rasa simpati dan berkongsi beban yang ditanggung mangsa kebakaran, Mohd. Zamadi Omar apabila terus menghulur bantuan untuk meringankan kesusahan beliau.

Pendaftar USM, Siti Zubaidah A.Hamid mewakili warga USM menyerahkan bantuan kewangan berjumlah RM10,000 kepada Mohd. Zamadi yang juga Penolong Jurutera di Pusat Teknologi Pengajaran dan Multimedia (PTPM) di sini hari ini.

Menurut Siti Zubaidah, bantuan kewangan tersebut adalah hasil sumbangan dari seluruh warga kampus melalui pusat-pusat tanggungjawab (PTJ) yang mula dikumpul sejak mangsa terbabit dalam insiden malang itu.

``USM amat prihatin khususnya kepada mana-mana kakitangannya yang ditimpa musibah. Bantuan ini adalah sebahagian usaha kita untuk membantu meringankan beban yang ditanggung mangsa.

``Kutipan akan terus dijalankan dan kepada yang masih mahu menyumbang kita sedia menerima dan akan menyalurkan kepada penerima dari masa ke semasa sehingga keadaan kembali tenang,’’ katanya.

Terdahulu, USM turut telah menyalurkan beberapa bantuan khas termasuk keperluan makanan dan harian, pakaian serta bantuan persekolahan anak-anak Zamadi, sebaik mengetahui mangsa ditimpa musibah pada 5 Ogos lalu.

DSC 4684

Menurut Mohd Zamadi, kejadian yang berlaku pada jam 7.45 malam itu, amat pantas sehinggakan rumah yang didiami bersama keluarganya di Alor Merah, musnah dijilat api. Mereka sekeluarga hanya sempat menyelamatkan diri disamping beberapa dokumen penting sahaja.

``Saya amat terharu dengan sumbangan yang tidak pernah putus diterima sehingga kini. Semoga Allah jua yang dapat membalasnya,’’ jelasnya sambil menyifatkan keadaan semakin tenang dan beliau sekelurga menerima ujian tersebut dengan redha. Teks: Marziana Mohamed Alias / Foto: Mohd Fairus Md Isa 

  • Created on .
  • Hits: 919

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024