USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

NAIB CANSELOR SERAH JERSI RASMI BAHARU PASUKAN HOKI USM

DSC 4813

PULAU PINANG, 14 Ogos 2014 – Pasukan hoki Universiti Sains Malaysia (USM) yang akan mengambil bahagian dalam Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Malaysia (SUKUM) kali ke-39 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor mendapat suntikan semangat awal apabila menerima jersi rasmi baharu pasukan daripada Naib Canselor, Profesor Dato' Dr. Omar Osman hari ini.  

 

Omar yang ditemui semasa majlis penyerahan tersebut berharap semangat pemain akan terus meningkat dan mempamerkan aksi cemerlang sepanjang kejohanan yang akan bermula pada 23 Ogos nanti.

 

"Saya akan mengikuti perkembangan semasa sukan hoki kita di sana. Semoga kemenangan akan menjadi milik kita, menjadi sesuatu yang boleh dibanggakan semua," katanya.

 

Omar turut mendoakan kejayaan serupa diraih oleh atlet dan pasukan permainan lain, dan mengharapkan semangat berpasukan dapat dikekalkan demi memastikan USM mampu memberi saingan sengit kepada semua pasukan yang bertanding.

 

 DSC 4818a

"Kalah menang adat biasa dalam sesuatu perlawanan, namun kita harus melihat platform ini bukan sekadar beradu kekuatan fizikal sesama kita, yang penting silaturrahim sesama insan dapat terus dieratkan," ujarnya sambil mengharapkan semua atlet dan pegawai sentiasa menjaga disiplin dan nama baik universiti.

 

Sementara itu, bagi pengurus pasukan, Dr. Syed Mohamad Syed Abdullah, persiapan yang diadakan sejak beberapa bulan lalu, diharapkan mampu menuai hasil yang diidamkan.

 

 DSC 4795

 

"Beberapa perlawanan persahabatan telah diatur bagi memantapkan pasukan dan mengenal pasti kelemahan yang ada, tahap kecergasan juga ditingkatkan, bagi memastikan gelaran juara keseluruhan menjadi milik USM."

 

"Semoga saat kegemilangan semasa menjadi juara pada SUKUM 2012 dapat diulangi, dan saya percaya dengan pengalaman pemain yang sedia ada, ditambah dengan kehadiran dua orang pemain kebangsaan iaitu Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin dan Mohd Izzat Rahim, USM bakal menjadi pasukan yang digeruni di SUKUM 2014.

 

Omar dan Syed Mohamad juga menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada penaja jersi hoki USM yang berpengkalan di Jertih, Terengganu, yang juga antara penaja jersi kepada pasukan bolasepak Sime Darby yang kini bertanding di Liga Super Malaysia. Teks:Mohamad Danial Shahri / Foto:Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 901

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024