USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM TERUS MEMACU USAHA KAJIAN GENDER

170814-1

PULAU PINANG, Ogos 2014 - Universiti Sains Malaysia (USM) akan terus memainkan peranan yang aktif untuk mengetengahkan isu-isu berkaitan gender yang berlaku dalam kalangan masyarakat Malaysia dan antarabangsa.

Tmbalan Naib Canselor (Penyelidikan Dan Inovasi) Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan berkata Pusat Penyelidikan Pembangunan Wanita (KANITA) USM, dengan kepakaran lebih 30 tahun dalam isu-isu melibatkan hak dan kepentingan wanita, akan terus memacu usaha penyelidikan ke arah membantu mencari penyelesaian dan penambahbaikan bagi meningkatkan taraf sosio-ekonomi dan pendidikan khususnya golongan terkebawah dan terpinggir yang sebilangan besarnya terdiri daripada kaum wanita.

 “Masalah keterpinggiran gender (gender marginalisation) ini sebenarnya merupakan suatu masalah global yang sudah lama dihadapi oleh masyarakat dunia dan ia perlu ditangani sebaik yang mungkin oleh semua pihak termasuk pihak kerajaan, pembuat dasar, badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan isu-isu gender malah institusi pengajian tinggi sendiri,” katanya kepada pemberita selepas mewakili Naib Canselor USM merasmikan KANITA Postgraduate International Conference On Gender Studies (KPICGS 2014) di sini baru-baru ini.

Lebih 80 peserta dari India, Bangladesh, Thailand, Filipina, Singapura, Iran, Malaysia, Australia dan Eropah menyertai persidangan yang berlangsung selama dua hari itu.

Bertemakan Marginality, Inclusiveness and Social Justice: Contemporary Challenges in Researching Women, Men and Gender,’ KPICGS merupakan platform yang berkesan untuk diskusi ilmiah, perkongsian ilmu dan pengalaman berkenaan isu-isu dan cabaran-cabaran semasa penyelidikan wanita, lelaki dan gender dalam kalangan pelajar-pelajar pasca siswazah tempatan dan antarabangsa.

Muhamad berkata, malah semakin maju sebuah negara, semakin meruncing masalah keterpinggiran gender dan penyisihan sosial yang akan membawa kepada ketidakadilan sosial.

“Maka kebersamaan (inclusiveness) merupakan suatu strategi yang penting untuk memastikan individu atau kumpulan tertentu yang terpinggir atau tersisih diberi peluang sepenuhnya dan saksama untuk bersama-sama melibatkan diri dalam masyarakat,” kata Muhamad lagi.

170814-2

Sementara itu, Pengarah KANITA, Prof. Madya Dr. Noraida Endut berkata, KPICGS kali kedua ini telah mendapat sambutan yang begitu menggalakkan, yang mana daripada 80 kertas kerja yang diterima, 44 kertas telah terpilih untuk pembentangan.

“Saya yakin melalui kertas-kertas kerja yang dibentangkan oleh penyelidik muda mahupun para akademia berkepakaran tinggi, dapatan penyelidikan mereka dapat memberi impak besar kepada kehidupan dan kesejahteraan golongan yang sering terpinggir dan tersisih,” katanya.

Dalam persidangan tersebut juga, satu kertas ucaptama dan tiga kertas plenari dibentangkan.

Kertas ucaptama bertajuk ‘Researching The Marginalised: Critical Reflections’ disampaikan oleh Prof. Melani Budianta, seorang profesor dalam pengajian sastera dan budaya di Fakulti Ilmu Kemanusiaan, Universitas Indonesia.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Saintifik KPICGS 2014, Profesor Dr. Chee Heng Leng.

KPICGS 2014 dianjurkan oleh KANITA USM dengan kerjasama Persatuan Kajian Gender Asia Tenggara [Southeast Asian Association for Gender Studies (SAMA)], Cawangan Malaysia.

- Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: Mohd Azrul Mohd Azhar

  • Created on .
  • Hits: 884

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024