USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

UNIVERSITI BERPERANAN PERKASA KOMUNITI

180814-10

KUBANG KERIAN, 18 Ogos 2014 – Universiti Sains Malaysia (USM) berperanan dalam memberi sumbangan signifikan ke arah memperkasakan komuniti yang bukan sekadar cerdik dalam ilmunya, malah sihat tubuh badan dan sejahtera dalam kehidupan.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, Universiti bukan sahaja tempat untuk menimba pelbagai ilmu namun dalam masa yang sama menjadi pusat untuk menyalurkan kepakaran dan informasi kesihatan untuk manfaat penjagaan kesihatan komuniti.

``Isu-isu penjagaan kesihatan umumnya telah menjadi satu isu sejagat yang perlu ditangani secara bersama, selain turut melibatkan pelbagai pihak termasuk institusi pengajian tinggi.

``Universiti yang berperanan sebagai asas kepada komuniti yang terlibat dalam penjagaan kesihatan dan perubatan mendekatkan diri mereka dengan masyarakat, khususnya dalam menyalurkan informasi terkini serta meningkatkan kesedaran masyarakat pentingnya penjagaan kesihatan.

``Ia turut melibatkan keberkesanan penyaluran maklumat tepat berhubung pelbagai penyakit sama ada berjangkit mahu pun tidak, meneroka peluang penyelidikan untuk menyelesaikan masalah kesihatan dan juga pengaplikasian pelbagai teknologi baru dalam bidang tersebut,’’ ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika membentangkan ucaptama bertajuk Transforming Community Healthcare through University Empowerment sempena 2nd USM International Nursing Conference 2014 yang melibatkan kira-kira 120 peserta di Kampus Kesihatan USM, di sini baru-baru ini.

Beliau terdahulu merasmikan persidangan tersebut yang turut dihadiri oleh Pengarah Kampus, Profesor Dato’ Dr. Mafauzy Mohamed, Dekan Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Profesor Dr. Ahmad Zakaria dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Dr. Dariah Mohd. Yusoff.

Omar juga berkata, antara tindakan yang boleh diambil universiti adalah merangka pelan perancangan yang strategik untuk pemerkasaan bidang tersebut, termasuk menjalin kolaborasi yang menyentuh aspek penyelidikan, latihan, bengkel dan sebagainya.

180814-11

``Perancangan ini pula perlu disusuli dengan penilaian untuk melihat keberkesanan dan penambahbaikan yang boleh dibuat terhadap usaha-usaha yang dijalankan,’’ ujarnya.

Katanya lagi, USM yang turut menjadi antara institusi melahirkan tenaga pengajar dan tenaga kerja dalam bidang penjagaan kesihatan turut menggalakkan mereka (nursing community) memperluaskan peranan dengan mendekati masyarakat.

Katanya, bidang penjagaan kesihatan ini perlu melalui fasa transformasi selaras dengan keperluan mendesak ekoran cabaran yang dihadapi bidang ini hari demi hari dan Universiti adalah antara yang boleh menyumbang ke arah pemerkasaan bidang itu.

``Universiti dan komuniti saling berkait di antara satu sama lain kerana segala ilmu dan penemuan yang dihasilkan oleh Universiti akan kembali kepada masyarakat untuk kelangsungan dan pemerkasaan sosio-ekonomi mereka.

``Universiti akan menjadi lebih signifikan jika dapat memberi impak yang besar kepada pembangunan komuniti, tidak kira dalam apa jua bidang sekalipun, apatah lagi jika dapat membentuk sebuah komuniti yang dapat menyumbang kembali kepada pembangunan negara,’’ ujar beliau. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Nor Rafizah Md. Zain

  • Created on .
  • Hits: 817

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024