USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM JALIN KERJASAMA PROGRAM PEMETAAN OTAK DENGAN SBMT

180814-12

KELANTAN, 18 Ogos 2014 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Penyelidikan dan Perkhidmatan Neurosains (P3NEURO) hari ini menjalinkan kerjasama dengan Society for Brain Mapping and Therapeutics (SBMT) bagi menambahbaik kajian dan juga perkhidmatan pemetaan otak.

Menurut Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr Omar Osman kolaborasi ini sangat berpotensi untuk kemajuan dalam bidang neurosains dan terapeutik kerana persatuan ini terdiri daripada gabungan saintis neurosains dari negara-negara maju dunia.

“Saya berharap langkah ini akan membuka peluang kepada saintis USM khasnya dan Malaysia amnya untuk berkolaborasi pada masa hadapan dalam bidang-bidang termaju dunia,” kata Omar ketika sidang akhbar selepas majlis penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) USM bersama SBMT.

SBMT adalah persatuan yang bertanggungjawab menjalankan penyelidikan dan memberikan perkhidmatan berkaitan neurosains dan terapeutik.

SBMT yang diwakili oleh Pengerusi, Profesor Babak Kateb berkata seorang pensyarah USM telah dipilih menjadi salah seorang ahli SBMT di Amerika dan berkemungkinan angka ini akan bertambah dari masa ke masa. 

“Bidang neurosains tidak harus dipandang seperti sebuah pertandingan, namun segala penyelidikan dan apa sahaja penemuan baru harus dikongsi dan dikolaborasi bersama,” kata Babak yang mempunyai pengalaman dalam bidang neurosains selama lebih 15 tahun.

“Bidang pemetaan otak ini adalah satu kaedah bagi pakar bedah otak memetakan fungsi otak sebelum, semasa dan selepas pembedahan supaya fungsi otak tidak terjejas.

Contohnya penghafaz al-Quran akan tetap mengingati setiap hafazan beliau walaupun setelah tamat proses pembedahan otak dan ini perlu dipetakan sebelum pembedahan dijalankan,” kata Pengarah P3NEURO, Profesor Dr Jafri Malin Abdullah.

Turut hadir menyaksikan majlis penandatanganan MoU ialah Pengarah Kampus Kesihatan, Profesor Dato’ Dr. Mafauzy Mohamed dan Timbalan Naib Canselor Akademik Universiti Teknologi Petronas, Profesor Ir. Dr. Ahmad Fadzil Mohamad Hani.

Majlis penandatanganan ini diadakan sempena 14th Neurosurgical Association Malaysia Annual Scientific & General Meeting dengan tema “Emerging Neurosurgical Practices” yang telah diadakan selama dua hari di sini. - Teks dan Foto: Nor Rafizah Md Zain 

  • Created on .
  • Hits: 818

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024