USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PESERTA BUKA MINDA, KEMASKINI PENGETAHUAN

DSC 0068

KUBANG KERIAN, 18 Ogos 2014 – Rata-rata peserta 2nd International Nursing Conference 2014 menyifatkan persidangan itu membuka minda mereka dengan ilmu dan penemuan baru, selain mengemaskini segala informasi dalam bidang penjagaan kesihatan.

Mardiana Mansor, pensyarah dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA), Terengganu berkata, beliau sememangnya menunggu persidangan yang kali kedua dianjurkan itu untuk mendapatkan informasi terkini yang boleh diaplikasikan dalam bidang tugasnya.

``Saya melihat ia peluang terbaik untuk mendapatkan pendedahan mengenai perkembangan terkini dalam penyelidikan berkaitan bidang nursing, sekaligus menambah pengetahuan untuk tujuan pembelajaran dan pengajaran.

``Persidangan ini turut menjadi platform untuk saya meraih pengalaman, idea dan prospek untuk terlibat dalam penyelidikan bersama penyelidik terkemuka dalam bidang nursing,’’ katanya yang telah lebih lapan tahun bergelar pensyarah.

DSC 0069

Pengamal Perubatan dari Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan, Dato’ Dr. Tahir Mahmood pula berkata, diskusi ilmiah dalam persidangan membolehkan para peserta berkongsi pengetahuan dan mendapatkan input dari pakar-pakar yang terlibat membentangkan kertas kerja.

``Persidangan ini membolehkan pengamal perubatan mendapatkan perkembangan terkini dalam bidang penyelidikan dan teknologi yang boleh membantu memudahkan serta memberi keberkesanan dalam urusan perkhidmatan kepada pesakit.

``Ia turut menjadi medan interaksi dan perkongsian maklumat dalam kalangan para pengamal perubatan dari rantau asia dan juga negara-negara lain,’’ katanya yang mempunyai kepakaran dalam bidang nutrisi dan kesihatan.

Beliau yang berasal dari Pakistan turut membentangkan kertas kerja bertajuk The Effect of Mixed Herbs on Blood Glucose and Lipid Profile in Case Controlled Type 2 Diabetes Mellitus (T2DM).

Sementara itu, dengan tema `Nursing Practice Transformation: Empowerment & Engagement’ persidangan dua hari tersebut menghimpunkan para peserta dari pelbagai negara termasuk Thailand, India, Indonesia, Pakistan, Kaherah dan sebagainya.

Majlis dirasmikan oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman yang turut menyampaikan ucaptama bertajuk Transforming Community Healthcare through University Empowerment di sini baru-baru ini.

Antara tajuk-tajuk pembentangan menarik termasuk Self-Directed Learning Readiness and Intrinsic Motivation among Nursing Students in Clinical Attachment, A Pilot Study of Constipation among the Elderly in Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Nursing Student’ Experience on Truthful Disclosure of Information to Cancer Patients dan pelbagai lagi. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Nor Rafizah Md. Zain

  • Created on .
  • Hits: 917

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024