USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM TERUS JALIN KERJASAMA DENGAN UNIVERSITI SONGKHLA RAJABHAT

10590431 757287624313599 62160878962708461 n

PULAU PINANG, 18 Ogos 2014 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK) hari ini meneruskan kerjasama dengan Universiti Songkhla Rajabhat (USR), Thailand melalui menandatangani satu lagi memorandum persefahaman dalam usaha untuk memberi manfaat pada kedua-dua pihak terutama dalam Pengajian Bahasa Melayu.

“Kita telah menandatangani perjanjian persefahaman bersama beberapa universiti di Thailand sebelum ini namun perjanjian kali ini agak istimewa kerana ia menjadi titik tolak kepada perkembangan Bahasa Melayu,” ucap dekan PPIK, Profesor Madya Dr. Hajar Abdul Rahim dalam ucapan alu-aluannya.

Selain itu, beliau juga berkata perjanjian ini mampu mewujudkan kerjasama antara dua belah pihak dalam usaha untuk mengembangkan Bahasa Melayu di sini mahupun di Thailand di samping mengenali cara pengurusan universiti di sini.

“Saya amat berharap bahawa perjanjian ini bukan sahaja memberi manfaat jangka pendek buat kita semua tetapi juga buat masa hadapan,” ujarnya lagi.

Seramai 16 orang delegasi Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan dan Sains Sosial USR hadir termasuk seorang Alumni USM iaitu Hasnida Samaon.

“Kami berpendapat bahawa Bahasa Melayu harus dikembangkan dan dipelajari oleh semua pelajar USR.

10612650 757286867647008 3504755781738705042 n

“Oleh yang demikian, kami ingin menjadikan Bahasa Melayu sebagai salah satu program di USR,” kata Timbalan Presiden, Penyelidikan & Hal Ehwal Antarabangsa USR, Dr Pawika Boonyapipap.

Hasnida, 32 yang juga pensyarah di USR berkata beliau  amat berharap agar perjanjian ini mampu memberi manfaat kepada pelajar di sana untuk  mendalami dan memahami Bahasa Melayu dengan lebih baik.

“Sebelum ini, pengajian Bahasa Melayu di universiti kami hanya terbatas untuk subjek elektif dan minor, melalui perjanjian ini, kami berharap agar dapat mewujudkan kursus major baharu iaitu pengajian Bahasa Melayu di sana kelak,” ujarnya.

“Untuk perancangan masa hadapan, pelajar yang mengambil pengajian Bahasa Melayu sebagai subjek major mereka akan belajar di USM untuk beberapa semester dan seterusnya menyambung pengajian mereka yang selebihnya di Thailand,” tambah Hasnida lagi. Teks: Nur Atiqah Dalbadalsa Merican / Foto: Mina Seifi 

  • Created on .
  • Hits: 790

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024