USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

BRAIN BEE CUNGKIL BAKAT SAINTIS NEURO

160814-40

KELANTAN, 20 Ogos 2014 – Pertandingan Brain Bee (BB) peringkat kebangsaan adalah sebuah program bagi mencungkil bakat-bakat muda yang mempunyai pengetahuan tinggi mengenai bidang neurosains seterusnya juara akan mewakili Malaysia ke International Brain Bee Championship (IBB) 2014 yang berlangsung di Washington, Amerika Syarikat.

“BB adalah pertandingan berkaitan neurosains yang bermula di Amerika Syarikat dan diasaskan oleh seorang pakar neurosains daripada Fakulti Pergigian di University of Maryland iaitu Dr. Norbert Myslinski.

“Pertandingan ini telah diadakan lebih dari 10 tahun dan semakin berkembang dari University of Maryland hingga ke seluruh Amerika, Eropah dan seluruh dunia. Pada kebiasaannya penyertaan adalah banyak dari negara-negara maju seperti Australia, Jerman, Korea dan Singapura,” kata Penyelaras BB di Malaysia yang juga Pengarah Pusat Penyelidikan dan Perkhidmatan Neurosains (P3NEURO), Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Jefri Malin Abdullah .

Tahun ini adalah tahun ketiga Malaysia menghantar wakil ke IBB dan pencapaian telah meningkat daripada tempat ke 17 ke tempat 14 menewaskan Jepun, Korea dan Poland.

“Pada tahun 2014, Malaysia telah diwakili oleh pelajar Tingkatan Empat Sekolah  Berintergrasi Penuh Gopeng iaitu adik Nabil Husaini Mohd Kamarul Abrar yang telah menewaskan beratus-ratus peserta BB peringkat zon Utara, Selatan dan Timur,” tambah Jefri.

“Para peserta yang terpilih dikategorikan mempunyai tahap IQ yang tinggi kerana soalan-soalan yang diberi adalah setaraf dengan soalan pelajar tahun dua perubatan di Amerika.

DSC 3454

Dari segi persediaan peserta, mereka telah dibekalkan dengan buku rujukan, kelas-kelas bimbingan daripada pensyarah USM dan juga guru pemimbing,” ujar Jefri ketika ditemui selepas majlis penandatangan Memorandum Persefahaman (MoU) di antara USM dengan Society for Brain Mapping and Therapeutics (SBMT).

Selain SBMT, USM juga akan menandatangani MoU dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang mana melalui perjanjian ini, semua Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) akan mempunyai Kelab Neurosains di peringkat sekolah. Dengan itu, tahap pengetahuan pelajar mengenai bidang neurosains akan meningkat serta dapat mendorong lebih ramai pelajar meminati bidang tersebut.

Apabila ditanya harapan beliau mengenai bidang neurosains, Jefri berkata pihaknya akan cuba bantu untuk menyampaikan sebanyak mungkin maklumat mengenai bidang neurosains agar ianya lebih difahami bukan sahaja kepada pelajar dan pensyarah malah kepada orang awam.

“Saya juga berharap supaya BB dapat dikembangkan ke satu tahap yang lebih tinggi pada masa hadapan dan diangkat  sebagai sebuah program negara.

“Selain mengantarabangsakan USM khasnya, program intelektual ini dapat mengantarabangsa Malaysia amnya,” kata beliau mengakhiri perbualan. Teks dan Foto: Nor Rafizah Md Zain 

  • Created on .
  • Hits: 784

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024