USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

NRIC DIHARAP PERTINGKAT TANDA ARAS

200814-1

PULAU PINANG, 20 Ogos 2014 – Penganjuran Pertandingan Penyelidikan dan Inovasi 2014 (NRIC) yang diinisiatifkan oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sains Malaysia (USM) diharap akan terus berdaya saing dengan peningkatan tanda aras ke tahap membanggakan.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, penganjuran NRIC edisi ke-8 pada tahun ini telah memperlihatkan kematangannya, selain mula mendapat perhatian universiti-universiti baru tanahair.

Katanya, bukan sekadar membariskan penyelidikan pelajar ijazah pertama, NRIC turut berupaya menarik kehadiran peserta dari luar dengan pelbagai penyelidikan yang berkualiti dan relevan dengan dunia semasa.

``NRIC seharusnya berperanan sebagai platform dalam mengenengahkan bakat pelajar dalam menghasilkan penyelidikan yang berkualiti dan memberangsangkan, selain turut menjadi medium untuk menyemai budaya penyelidikan bertanda aras tinggi.

200814-2

``Setelah lapan tahun berjaya dijalankan, NRIC diharap terus berdaya saing dan USM akan terus mengorak langkah untuk meningkatkan kualitinya dari tahun ke tahun dengan menstabilkan penyertaan kepada 100 hingga 120 penyertaan sahaja,’’ ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan NRIC yang berlangsung dari 19 hingga 22 Ogos di sini hari ini. Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar, Profesor Adnan Hussein dan Pengarah NRIC, Zhameir Shafiq Mohd Ilias.

Omar juga berkata, bilangan penyertaan tersebut dihadkan bagi membolehkan setiap universiti dapat melakukan saringan sebelum memilih hanya produk penyelidikan yang terbaik untuk dipertandingkan.

``Ia penting dalam usaha kita menjaga kualiti NRIC dan mengenengahkan inovasi yang berpotensi untuk dimajukan dan mampu mendatangkan impak pada masyarakat secara keseluruhan,’’ katanya.

200814-3

Tambah beliau, kehadiran kira-kira 264 peserta ke NRIC juga diharap dapat mewujudkan satu peluang interaksi ke arah memupuk budaya penyelidikan, selain menjadi medan pertemuan pelajar dengan pihak industri.

``USM berharap para peserta dapat mempersembahkan idea mereka kepada juri yang menilai dengan cemerlang, sekaligus meraih peluang menarik pihak industri untuk melihat produk ciptaan mereka yang berpotensi untuk dimajukan peringkat demi peringkat.

``NRIC juga dilihat telah berupaya menjenamakan penganjurannya dan ia diharap dapat menjadi penanda aras kepada universiti-universiti lain untuk sama-sama menganjurkan program atau aktiviti yang dapat memperkasakan ekosistem penyelidikan di negara ini dan antarabangsa,’’ katanya.

Dalam pada itu, NRIC 2014 menyaksikan 118 produk dipertandingkan bagi merebut anugerah termasuk Produk Penyelidikan Terbaik NRIC 2014, Anugerah Inovasi, Kreativiti, Kelestarian/Projek Penyelidikan Hijau, Polisi Impak Sosial, Pembentang Terbaik dan sebagainya.


Pertandingan yang disertai 21 institusi pengajian tinggi awam dan swasta itu turut mendapat penyertaan delegasi dari negara jiran seperti Thailand, Indonesia dan sebagainya.

Pertandingan meliputi enam kategori utama termasuk sains fundamental, sains kajihayat, teknologi maklumat dan komunikasi, teknologi kejuruteraan dan sebagainya. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1070

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024