USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

ZAHIRKAN PROSES PENDIDIKAN BERSEPADU, KATA NC

200814-4

PULAU PINANG, 20 Ogos 2014 - Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Omar Osman meminta agar usaha terus dilakukan dari sekarang untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan proses penyampaian pendidikan secara bersepadu.

“Kejayaan kita hari ini bermula daripada apa yang kita usahakan dahulu, yang asasnya telah diletakkan oleh mereka yang percayakan perubahan yang boleh dibuat untuk menambahbaikkan apa jua proses yang ada,” kata Omar yang diminta memberikan ucapan pada akhir Seminar Tahunan Pengajaran Pembelajaran USM 2014 yang bertemakan “The Global Classroom” di Dewan Budaya USM petang ini.

Contoh yang ketara kata Naib Canselor ialah bagaimana pencapaian hari ini dibuat melalui mereka terdahulu sehingga pengajian Kejuruteraan USM diletakkan pada kedudukan 101-150 di dunia melalui The "Shanghai Ranking” yang terbaharu.

Ranking ini dianggap antara dilakukan dengan ketat dikeluarkan oleh Shanghai Jiao Tong University. (http://www.shanghairanking.com/ FieldENG2014.html)

200814-5

Katanya lagi, apa yang perlu ialah usaha yang dilakukan untuk mengintegrasikan apa jua kaedah yang ada untuk meningkatkan keberkesanan proses yang dilakukan selama ini yang mementingkan kualiti dan kelestariannya serta bagaimana dapat menjadikannya sebagai satu budaya dalam membentuk masa hadapan pendidikan.

Tambahnya lagi, yang penting juga ialah bagaimana kita dapat meningkatkan kebolehcapaian ilmu pengetahuan yang menyeluruh kepada masyarakat dalam memenuhi tuntutan dan keperluan mereka terhadap hasil daripada proses pendidikan terutamanya di universiti.

Beliau memuji usaha yang dilakukan oleh Pusat Pembangunan dan Kecemerlangan Akademik & Penasihatan & Pembangunan Pelajar (CDAE) dalam menyediakan landasan baharu untuk proses penyampaian ilmu melalui kaedah pembelajaran terbuka.

Seminar sehari yang disertai oleh kira-kira 500 orang peserta dari dalam kalangan pensyarah dan guru dianjurkan oleh CDAE bersama-sama Pusat Pengetahuan, Komunikasi dan Teknologi (PPKT) dan Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT).

Naib Canselor turut menyampaikan anugerah kepada para pemenang “the Most Active Course with Innovative Content” sebagai mengiktiraf mereka yang terlibat secara aktif dalam menyediakan pembangunan kandungan bahan untuk eLearn@USM.

200814-6

Para pemenang terdiri daripada  Dr. Mohd. Salman Abu Mansor dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik, Profesor Madya Dr. Lim Hwee San dari Pusat Pengajian Sains Fizik, Dr. Yusri Yusop dari Pusat Pengajian Teknologi Industri, Gan Pek Har dari Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan, Dr. Zainurul Aniza dari Pusat Pengajian Seni, Dr. Nurulezah Abdullah dari Pusat Pengajian Sains Pergigian dan Profesor Madya Irfan Naufal Umar dari Pusat Teknologi Pengajaran dan Multimedia.

Profesor Dato’ Dr. Omar Osman juga turut menyampaikan anugerah “Best Instructional Design” yang menyediakan bahan kandungan dalam bentuk elektronik yang asli kepada Dr. Mohd Asnizam Asari dari Pusat Pengajian Sains Perubatan dan Dr. Wan Maryam Wan Ahmad Kamil dari Pusat Pengajian Sains Fizik.

Semua pemenang menerima sijil penghargaan, plak dan iPad Air.

Hadir dalam majlis yang sama ialah Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Akademik dan Antarabangsa) Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal; Pengarah CDAE, Profesor Dr. Abdul Karim Alias serta tiga orang pakar yang diundang untuk seminar ini iaitu Larry Cooperman dari University of California, Dr. Wayne Mackintosh yang merupakan Pengarah pengasas OER Foundation dan Profesor Dr. Mushtak ASl-Atabi, Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Taylor’s University of Malaysia.​

- Teks: Mohamad Abdullah/Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 895

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024