UITM PERTARUH JAMBATAN BERTINGKAT DALAM NRIC
PULAU PINANG, 21 Ogos 2014 - Sekumpulan siswa-siswi tahun akhir jurusan Kejuruteraan Sivil Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah memilih Projek Jambatan Bertingkat pelbagai fungsi untuk dipertandingkan dalam Pertandingan Penyelidikan dan Inovasi (NRIC) kali ini.
Projek berkonsepkan pembangunan fizikal negara masa hadapan itu menjadi salah satu produk tahun akhir siswa-siswi institusi pengajian tinggi yang dipamer dan dipertandingkan dalam NRIC edisi ke-8 anjuran Universiti Sains Malaysia (USM) melaui Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).
``Di dunia, jambatan bertingkat ini hanya terdapat di dua buah tempat iaitu Dubai dan London. Konsep rekaan jambatan ini adalah sama dengan jambatan di St Paul Avenue di Milwaukee dan La Salle di Illinois,” ujar Mohd Emierul, salah seorang ahli kumpulan tersebut.
``Dari segi pembinaaan dan struktur, pelbagai aspek kejuruteraan digabungkan seperti elektrikal, mekanikal, magnetik dan seni bina yang biasanya tidak terdapat di jambatan biasa,” tambahnya lagi.
Menurut beliau, antara ciri-ciri unik inovasi jambatan dua tingkat itu adalah kerana ia mempunyai landasan LRT monorel di tingkat bawah dan jalan untuk kenderaan di tingkat atas. Bahagian tengah pula boleh dinaikkan untuk laluan kapal-kapal besar.
“Kami akan memasang sistem pengesan sejauh 100 meter supaya kereta dapat berhenti ketika bahagian tengah tersebut dinaikkan. Jambatan ini akan ditubuhkan di antara jambatan pertama dan jambatan kedua,” ujarnya lagi.
Jambatan yang panjangnya lebih kurang 13.5 meter ini bakal menghubungkan Pulau Jerejak dan tanah besar dan memberi kemudahan kepada pengguna. Kemudahan lain yang disediakan adalah kafetaria dan kedai-kedai.
“Kami berharap agar projek ini menjadi pilihan sebagai sesuatu yang baru di Malaysia dan dapat direalisasikan di masa akan datang,” katanya setelah ditanya mengenai harapan mereka dalam pertandingan kali ini yang julung kali disertai.
Dalam pada itu, NRIC mula dianjurkan sejak lapan tahun yang lepas sebagai salah satu usaha untuk memberi pengiktirafan kepada projek pelajar tahun akhir institusi pengajian tinggi awam dan swasta tanahair, selain disertai universiti di luar negara seperti Thailand. Teks & Foto: Nur Atiqah Dalbadalsa Merican
- Created on .
- Hits: 970