INOVASI BERUS CAT RAIH ANUGERAH IPC
PULAU PINANG, 22 Ogos 2014 – Sekumpulan penyelidik muda dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina Jit Sin menggungguli anugerah Innovation Pitch Challenge (IPC) setelah dinobat juara melalui inovasi sains mereka.
Kemenangan Lim Yuan Heng, Hor Rui Jie, The Jin Ying dan Yew Qian Yi, masing-masing pelajar tingkatan dua SMJK(C) Jit Sin itu diperoleh menerusi produk unik Convenient Paint Brush yang berupaya mempercepatkan urusan mengecat dinding.
Menurut Rui Jie, inovasi tersebut dapat memudahkan urusan mengecat dinding tanpa memerlukan pengguna mencelup berus ke dalam tin cat setiap kali mahu mengecat permukaan dinding.
``Kita letakkan satu botol yang mempunyai lubang-lubang kecil di bahagian atas berus cat. Dengan menggunakan pam, cat dari dalam tin akan dipam masuk ke botol tersebut dan mengalir melalui lubang-lubang kecil terus ke permukaan berus.
``Pengguna boleh terus mengecat tanpa perlu berhenti untuk membasahkan berus. Ia dapat membantu menjimatkan tempoh mengecat, sekaligus mengatasi masalah comot akibat titisan-titisan cat yang jatuh ketika mencelup berus ke dalam tong cat,’’ ujarnya ketika ditemui di sini hari ini.
Inovasi yang turut mendapat pujian juri itu membolehkan empat sekawan tersebut membawa pulang pingat emas dan sijil IPC 2014, selain nama sekolah mereka dilekatkan dalam senarai pemenang IPC yang diadakan secara tahunan tersebut.
Dalam pada itu, Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Onn, Seberang Jaya meraih tempat kedua melalui inovasi Roof Cooler manakala produk Organic Fiber Filter Oil Trap, inovasi SMK Seri Muda, Penaga meraih tempat ketiga.
Majlis telah dihadiri oleh Pengarah Pejabat Pembangunan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar USM, Dr. Nazarudin Zainon.
Sembilan buah sekolah menengah sekitar Pulau Pinang terdahulu berentap dalamIPC satu pertandingan yang memfokuskan kaedah ataupun teori penyampaian idea dalam kalangan pelajar sekolah menengah yang melibatkan kreativiti dan idea inovasi pelajar berkenaan sains, teknologi dan inovasi.
IPC diadakan bersempena Pertandingan Penyelidikan dan Inovasi (NRIC) 2014 dengan matlamat untuk memupuk minat dan budaya rekacipta dan inovasi dalam kalangan rakyat Malaysia pelbagai golongan dan peringkat umur.
Ia turut bertujuan menggalakkan pelajar untuk membuat penyelidikan dan inovasi yang mampu membina peluang kerjaya masa depan mereka. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 1462