KOMITMEN KEPIMPINAN MEMUNGKINKAN KEJAYAAN E-PEMBELAJARAN – Wujudkan Bilik Kuliah Abad 21
PULAU PINANG, 22 Ogos 2014- Universiti Sains Malaysia (USM) berupaya untuk menggembleng tenaga pensyarahnya dalam menjayakan pembelajaran elektronik (e-pembelajaran) pada masa hadapan.
Demikian harapan dan keyakinan tokoh dan pakar dalam e-pembelajaran USM, Profesor Hanafi Atan.
“Saya berharap, percaya dan yakin USM akan cemerlang dan proses Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) terutamanya dalam pelaksanaan e-pembelajaran yang dilakukan oleh pensyarah yang berkualiti tinggi dan setanding dengan universiti terkenal antarabangsa,” kata Hanafi yang ditemui selepas menerima anugerah khas “Distinguished Award” sempena Seminar Tahunan Pengajaran dan Pembelajaran USM 2014 di USM baru-baru ini.
Anugerah yang disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Akademik dan Antarabangsa) Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal yang mewakili Naib Canselor diberikan oleh USM untuk mengiktiraf sumbangan dan kecemerlangan beliau dalam membangunkan e-pembelajaran selama ini.
Anugerah ini juga adalah sebagai mengiktiraf komitmen tinggi beliau yang berjaya melakukan transformasi e-pembelajaran di USM, malah kepakarannya turut diiktiraf dengan kedudukannya sekarang sebagai Pengerusi Majlis E-Pembelajaran Universiti Awam Malaysia.
Hanafi yang juga Timbalan Pengarah 1 Pusat Kecemerlangan Akademik dan Penasihatan dan Pembangunan Pelajar (CDAE) berkata, keyakinannya itu berteraskan kepada komitmen yang tinggi yang telah diberikan oleh pihak pengurusan tertinggi USM selama ini, pemantuan pelaksanaan polisi e-pembelajaran yang akan dijalankan secara sistematik serta latihan yang dilakukan secara berterusan termasuk diberikan mata CPD yang berkaitan dengan kehadiran pensyarah sedang dipertingkatkan.
Apatah lagi, katanya lagi, pembudayaan dan “buy-in” yang dilakukan secara berterusan seperti seminar, insentif, pengiktirafan dan sebagainya giat dilakukan oleh USM.
Ditanya perasaanya menerima anugerah khas tersebut, Hanafi berkata, beliau terperanjat tetapi amat gembira dengan pengiktirafan yang diberikan.
“Saya berterima kasih kepada pihak universiti di atas pengiktirafan ini serta staf CDAE yang telah memberi kerjasama dalam melaksanakan pelbagai aktiviti untuk untuk mempertingkatkan kualiti proses P&P,” kata Hanafi.
Hanafi berkhidmat di USM sejak 13 November 1989, dilantik sebagai Profesor pada tahun 2006.
Menurut Hanafi, untuk memastikan usaha ini berjaya dilaksanakan, usaha memberi pendedahan yang semaksimum mungkin kepada pensyarah untuk mereka menggunakan e-pembelajaran seluas-luasnya dalam pengajaran dan pembelajaran mereka dibuat secara berterusan.
Jelas beliau, pembudayaan e-pembelajaran dalam kalangan pensyarah boleh dilakukan melalui polisi yang mantap, latihan yang beterusan dan juga insentif yang bersesuaian serta meningkatkan pembudayaan penggunaan e-pembelajaran seluas-luasnya di seluruh kampus sesuai dengan pelajar bergenerasi Y atau pelajar abad ke-21 yang menggunakan alat ICT bukan sahaja dalam kehidupan harian malah dalam P&P mereka.
“Kita ingin mewujudkan sebanyak mungkin dewan kuliah di USM sebagai dewan kuliah berbentuk “21st century classroom” yang mempunyai pelbagai peralatan ICT untuk membantu proses P&P dan menjadikan pembelajaran lebih aktif dan bermakna buat pelajar dengan mempertingkatkan kualiti P&P dalam kalangan pensyarah melalui pelbagai kaedah P&P yang berasaskan e-pembelajaran,” kata Hanafi
Selain dari itu, melalui “Open Educational Resources” - OER@USM, nama USM diharapkan akan terkenal di peringkat antarabangsa dengan memberi akses pendidikan ke semua segmen masyarakat hingga kepada kumpulan terkebawah atau “the bottom billion” dan dalam masa yang sama dapat memacu masyarakat berpengetahuan (knowledge society) melalui pembelajaran sepanjang hayat (life-long learning).
“Namun ia bukanlah mudah kerana antara cabaran besarnya ialah infrasruktur yang masih lagi tidak mencukupi dan lengkap termasuk akses internet dalam bentuk wi-fi yang tidak mencukupi ke seluruh kampus dan “band width” yang masih rendah, Ketersediaan (readiness) dan kesedaran pensyarah yang masih rendah lebih-lebih lagi kepada pensyarah yang senior yang masih mengamalkan kaedah tradisional dalam proses pengajaran mereka,” kata Hanafi lagi.
Di samping itu tambahnya lagi, cabaran yang dihadapi dan perlu diatasi segera ialah dan mentaliti serta persepi pensyarah yang merasakan bahawa penggunaan e-pembelajaran adalah membebankan dan bukannya menyenangkan proses pembelajaran sedangkan teknologi sepatutnya menyenangkan proses pembelajaran dan bukannya membebankan. Teks: Mohamad bin Abdullah / Foto: Mohamad Danial Shahri
- Created on .
- Hits: 1094