USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM KOMITED MEMBANTU BANGUNKAN IUG

 IUG 5

PULAU PINANG, 22 Ogos 2014 - Universiti Sains Malaysia (USM) beriltizam untuk berusaha terus membantu Islamic University of Gaza (IUG) yang mengalami banyak kemusnahan dalam serangan rejim zionis Israel.

Naib Canselor USM Profesor Dato' Dr. Omar Osman berkata, USM akan melakukan apa sahaja yang boleh terutamanya dalam memastikan proses pendidikan anak-anak Palestin di IUG dapat diteruskan dan IUG dapat dibangunkan semula setelah mengalami banyak kemusnahan terutamanya apabila bangunannya musnah dalam serangan Israel baru-baru ini yang dianggarkan kerugian lebih USD1.5 juta.

"Ini adalah sebagai meneruskan apa yang telah dilakukan sebelum ini, termasuk mewujudkan tabung khas sumbangan warga USM yang sebelum ini telah disalurkan untuk membantu membiayai pendidikan anak-anak Palestin di IUG," kata Omar ketika menerima kunjungan Penyelaras Hal-Ehwal Luar untuk Wilayah Asia Tenggara IUG, Dr. Wesam A. Al Madhoun.

Wesam yang juga alumni USM berada di Malaysia untuk menemui pelbagai pihak termasuk memenuhi jemputan mereka yang ingin menghulurkan bantuan kepada IUG.

IUG 1

USM menandatangani persefahaman dengan IUG pada 4 Disember 2012 untuk bekerjasama dalam pembangunan akademik dan penyelidikan IUG serta membolehkan USM membantu dari segi kepakaran dan sebagainya untuk pembangunan semula Palestin melalui IUG.

"Kita perlu merancang dan merangka program-program yang sesuai dalam jangka panjang untuk menjadikan hubungan di antara kedua-dua buah universiti lebih bermakna dan pada masa yang sama membolehkan kita bekerjasama dalam proses pendidikan anak-anak Palestin secara berterusan," kata Omar yang turut menyampaikan sumbangan warga USM melalui kutipan dalam kalangan stafnya sejak bulan Ramadhan lalu.

USM dijangka mengadakan kutipan dalam kalangan warganya termasuk para pelajar untuk membantu anak-anak Palestin yang menghadapi kesukaran belajar kerana pelbagai masalah akibat serangan Israel termasuk kemusnahan kediaman dan harta benda.

IUG 4

Sementara itu, menceritakan tentang kesan serangan berkenaan, Wesam berkata, ramai pelajar Palestin yang memerlukan bantuan dan sokongan terutamanya apabila anggota keluarga mereka yang terkorban, menghadapi trauma dan tekanan psikologi dengan kediaman serta kemudahan-kemudahan sokongan yang ada rosak teruk.

"Keutamaan kami sekarang ini ialah untuk membangunkan semula IUG dengan menekankan kepada keperluan anak-anak yang mengikuti pengajian di IUG dan institusi pengajian lain di Gaza dan kemudiannya baharulah kepada pembangunan fizikal," kata Wesam.

Tambahnya, beliau akan terus berusaha keras mengumpul dana bagi membantu pelajar terutamanya untuk membayar yuran pengajian mereka kerana IUG tidak mampu memberikan pendidikan percuma memandangkan mereka bergantung sepenuhnya kepada yuran pelajar untuk meneruskan operasi Universiti.

IUG mempunyai kira-kira 20,000 orang pelajar  termasuk kira-kira 4,000 orang calon siswazah dengan sebahagian besar tidak berupaya membayar yuran. Manakala gaji stafnya termasuk staf akademik dipotong di antara 30 - 50% sebulan sejak beberapa bulan lalu.

"Yang penting ialah memastikan mereka dapat meneruskan pengajian dan mencapai impian mereka terutamanya dalam membangunkan semula negara dan tanah air untuk masa hadapan," kata Wesam.

IUG 2

Hadir bersama Wesam ialah Bendahari Persatuan Muafakat Kesejahteraan Rakyat (PERMUAFAKAT) Dr. Mazzan Md. Isa. Pertubuhan sukarela tersebut ditubuhkan pada tahun 2010 dengan menggemblengkan sukarelawan untuk membantu dalam aktiviti kesihatan dan kebajikan masyarakat serta terlibat dalam aktiviti kemanusiaan rakyat Palestin di Gaza dan membantu masyarakat Rohingya.

Teks: Mohamad Abdullah​/Foto: Mohamad Danial Shahri

  • Created on .
  • Hits: 1039

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024