USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM-CEO TALK SERIES - GST: ADAKAH ANDA BERSEDIA?

gst 1

PULAU PINANG, Ogos 2014 - Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. See Ching Mey meminta agar semua pemegang taruh memahami dengan baik implikasi dan kesan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST - Goods and Services Tax) apabila ia mula dilaksanakan di negara kita pada 1 April 2015. 

“Setiap pemegang taruh tidak kira pihak industri, institusi pengajian tinggi, badan-badan kerajaan mahupun masyarakat perlu bersedia apabila berdepan dengan pelbagai isu yang bakal timbul berkenaan dengan pelaksanaan GST pada tahun hadapan,” kata beliau mewakili Naib Canselor USM ketika menyampaikan ucapan alu-aluan sempena USM-CEOTalk Series ke-6 di sini baru-baru ini.

Untuk USM-CEOTalk Series kalike-6 ini, penceramah jemputannya ialah Rakan Kongsi Pengurusan BDO Malaysia, Dato' Gan Ah Tee yang mengupas dengan terperinci topik menarik ‘GST: Adakah Anda Bersedia?’

“GST bukanlah sejenis cukai baru tetapi diperkenalkan oleh pihak kerajaan untuk menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST – Sales and Services Tax) yang sedia ada. Ia sebenarnya ialah cukai yang dikenakan ke atas barangan dan perkhidmatan tertentu yang kita beli, dan ia dikenakan pada kadar yang lebih rendah (6%) berbanding dengan kadar SST (16%),” jelas Gan.

gst 2

Dalam pembentangan beliau, Gan telah memberi pengenalan tentang rangkaian BDO International, sepuluh impak GST yang paling signifikan dan beberapa perkara berkaitan dengan pelaksanaan GST di Malaysia.

Dengan pengalamannya lebih 30 tahun dalam bidang pengauditan, perakaunan dan penasihatan kewangan, Gan merupakan Rakan Kongsi Kanan Rantau ASEAN untuk BDO dan kini mengetuai Pusat Kecemerlangan GST BDO.

Selain Gan, Penasihat Kanan (Penasihatan & GST) BDO, Ng Swee Weng, turut berkongsi tentang implikasi dan pencapaian GST serta kunci kejayaan dalam pelaksanaan GST.

“Antara kunci kejayaan pelaksanaan GST ialah perlu ada penyelaras atau penaja projek, kesedaran tentang impak GST terhadap perniagaan, pematuhan kepada syarat-syarat pendokumentasian GST, serta latihan pengurusan dan kakitangan yang dikenalpasti,” kata Ng.

USM-CEO Talk Series kali ke-6 ini dianjurkan oleh Pusat Pengajian Pengurusan dengan kerjasama Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan USM.

gst 3

Ia menjadi platform kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEOs) berkongsi pengalaman dan halatuju masa depan industri, pasaran perniagaan dan ekonomi global, selain menjadi ruang untuk perbincangan di antara industri dan USM yang akan memberi manfaat kepada semua pihak.

Seramai 150 orang telah menghadiri majlis tersebut yang terdiri daripada ketua-ketua jabatan, eksekutif-eksekutif dan wakil-wakil industri serta pelajar-pelajar USM sendiri.

Turut hadir ialah Dekan Pusat Pengajian Pengurusan USM Prof. Dr. Fauziah Md. Taib, dan Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar & Jaringan) Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan USM Tuan Haji Noor Nasir Kader Ali.

Teks: Suhaili Mohd Zaini & Tan Ewe Hoe/Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1060

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024