1584 PEGAWAI KADET PALAPES DITAULIAH
PULAU PINANG, 22 Ogos 2014 – Pegawai Kadet Pasukan Latihan Simpanan (PALAPES), Universiti Sains Malaysia (USM) antara yang akan ditauliah dalam Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet PALAPES Ke-33 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak Sabtu ini.
Istiadat tersebut akan disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan, Sultan Muhammad ke-V yang mewakili Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong.
Dalam istiadat tersebut baginda berkenan mencemar duli menyempurnakan perbarisan pentauliahan diraja dan menyempurnakan istiadat pengurniaan watikah tauliah diraja kepada 1584 Pegawai Kadet PALAPES IPTA.
Daripada jumlah tersebut sejumlah 710 pegawai kadet lelaki dan 854 pegawai kadet wanita dari 17 IPTA seluruh negara akan menerima tauliah masing-masing mengikut tiga cabang perkhidmatan dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Kesemua pegawai kadet yang akan ditauliahkan itu merupakan pelajar-pelajar IPTA yang telah tamat menjalani latihan Pegawai Kadet selama tiga tahun sepanjang pengajian mereka.
Latihan sempena perbarisan tersebut dijalankan selama 14 hari dan diuruskan oleh markas latihan tentera darat bertujuan untuk menyatukan kesemua kontinjen tersebut.
Dalam pada itu, tiga Pegawai Kadet USM iaitu Pegawai Rendah Kanan (PRK) Muhammad Adib bin Bapu (darat), PRK Mohammad Fareez bin Jaaffar (udara) dan PRK Maizatul Farhana binti Azid (laut) terpilih menerima anugerah Pegawai Kadet Terbaik.
Muhammad Adib dan Mohammad Fareez masing-masing bakal graduan jurusan Sains Fizik (Geofizik) dan Kejuruteraan Mekanik manakala Maizatul bakal graduan dalam jurusan Sains Gunaan (Biologi Akuatik).
Teks: Marziana Mohamed Alias
- Created on .
- Hits: 1814