USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

INOVASI I-OK RAIH ANUGERAH KHAS OKU

okunric2

PULAU PINANG, 25 Ogos 2014 – Inovasi orang kelainan upaya, I-OK (tongkat pelbagai guna) meraih anugerah khas juri yang julung kali diperkenalkan dalam Pertandingan Penyelidikan dan Inovasi (NRIC) 2014 yang melabuhkan tirainya di sini baru-baru ini.

Dengan mengaplikasikan konsep mesra OKU, produk yang dibangunkan trio dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu membolehkan OKU menggunakan tongkat khas secara optimum termasuk merehatkan diri, membawa muatan dan bergerak lancar.

Trio berkenaan terdiri dari Mohd. Nazmi Mohd. Salleh, Nor Faidilatul Asma Ramley dan Nur Aqilah Ishak telah menarik perhatian juri dengan aplikasi tongkat yang dapat memudahkan dan mengoptimumkan pergerakan OKU.

okunric3

Salah seorang penyelidik, Mohd. Nazmi yang juga seorang OKU berkata, kesukarannya untuk melakukan pelbagai pergerakan dalam masa yang sama membolehkan kumpulannya tampil dengan penyelesaian berbentuk inovasi tersebut.

Katanya, OKU sepertinya sering mengalami kesukaran khususnya jika perlu melalui perjalanan dengan jarak yang jauh dan tidak semua tempat ada menyediakan kemudahan rehat untuk pejalan kaki dan juga OKU.

``Saya menggunakan tongkat dalam tempoh yang agak lama. Kadangkala perjalanan jauh membuatkan saya penat dan kudrat hilang. Justeru saya mengambil inisiatif untuk mereka cipta tongkat khas yang bukan sahaja membantu melancarkan pergerakan tapi turut dilengkapi fungsi lain.

``Justeru tongkat ini telah dilengkapi dengan tempat duduk yang diperbuat dari fabrik khas di bahagian tengah dan turut mempunyai roda di bahagian depan untuk memaksimumkan pergerakan. Ia sangat membantu khususnya untuk saya berehat menghilangkan lelah,’’ ujar beliau.

Tempat duduk tersebut pula jelasnya boleh diletakkan barang-barang seperti buku dan sebagainya ketika bergerak.

okunric4

Mohd Nazmi adalah pelajar tahun kahir jurusan Kaunseling, Fakulti Pengurusan dan Kepimpinan USIM. Rekaan beliau bersama pasukannya yang dipertandingkan di bawah kategori Transformasi Sosial dan Seni Kreatif juga turut memenangi pingat emas dalam NRIC 2014.

Terdahulu, kira-kira 300 pseserta NRIC 2014 diraikan dalam majlis penutup dan penyampaian anugerah oleh Timbalan Naib Canselor Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat USM, Profesor Dato’ Dr. See Ching. Mey.

Produk emas USM, Natural Biodegradable And Non-Toxic Coagulant From G. Hylocereus Foliage (Dragon Fruit), iaitu bahan yang digunakan untuk merawat air pula berjaya mengungguli anugerah Produk Inovasi Terbaik NRIC.

nric4

Sehingga kini, NRIC merupakan pertandingan penyelidikan terbesar dalam negara yang dianjurkan dan dikelolakan sepenuhnya oleh para pelajar.

USM melalui Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) menjadi perintis dalam penganjuran NRIC yang mula dilaksanakan pada tahun 2007. Antara anugerah utama yang menjadi rebutan termasuk Projek Penyelidikan Terbaik NRIC 2014, Anugerah Polisi Impak Sosial, Rekabentuk Industri serta Rekacipta dan Inovasi Terbaik. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohamad Danial Shahri

  • Created on .
  • Hits: 1126

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024