USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PRODUK EMAS USM TERBAIK NRIC 2014

nric1PULAU PINANG, 25 Ogos 2014 – Inovasi unik penghasilan bahan merawat air dari sumber semulajadi telah membolehkan trio Universiti Sains Malaysia (USM) dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia meraih anugerah inovasi terbaik dalam Pertandingan Penyelidikan dan Inovasi (NRIC) 2014 di sini baru-baru ini.

Leslie Ewe Fang Jun, Muhammad Zamani Zakaria dan Vjayan a/l Thrumakunasagran telah menghasilkan inovasi yang dikenali sebagai Natural Biodegradable and Non-toxic Coagulant Derived from G. hylocereus plant, atau bahan perawat air dari bahan semulajadi iaitu pokok buah naga (dragon fruit).

Vjayan berkata, kebiasaannya industri pemprosesan air terawat menggunakan bahan kimia seperti aluminium sulphate (alum) dan polyaluminium chloride (PAC) untuk merawat air sisa yang kotor dan bertoksik.

Katanya, penggunaan bahan kimia itu sedikit sebanyak menyumbang kepada masalah kesihatan jika digunakan secara berleluasan dan berpanjangan, termasuk boleh mengakibatkan seseorang mengidap Alzheimer dan penyakit neuro seperti pre-senile dementia.

``Justeru, kami telah menjalankan kajian dan mendapati batang pokok buah naga boleh digunakan sebagai bahan alternatif semulajadi untuk merawat air sisa tercemar. Ia mempunyai keupayaan merawat air setanding bahan kimia namun tidak mengeluarkan sisa yang berbahaya kepada kesihatan.

``Produk ini berpotensi untuk dikomersialkan dan buah naga boleh diusahakan di negara ini secara besar-besaran. Buahnya boleh dimakan dan dalam masa yang sama bahan buangan dari pokok tersebut dapat dikomersialkan untuk produk lain yang bermanfaat,’’ ujarnya.

nric2

Inovasi berasaskan dari bahan sisa ke produk emas itu dipertandingkan dalam kategori Kejuruteraan dan Teknologi, berjaya membolehkan penyelidiknya membawa pulang hadiah wang tunai RM5, 000, trofi dan sijil penghargaan.

Terdahulu, Timbalan Naib Canselor Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat USM, Profesor Dato’ Dr. See Ching Mey hadir meraikan kesemua peserta dan menyampaikan anugerah-anugerah sempena NRIC 2014. Turut hadir ialah Naib Canselor Universiti Tenaga Nasional, Dato' Seri Profesor Mashkuri Yaacob dan wakil Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris, Profesor Dato' Dr. Noraini Idris.  

Sehingga kini, NRIC merupakan pertandingan penyelidikan terbesar dalam negara yang dianjurkan dan dikelolakan sepenuhnya oleh para pelajar.

nric3

USM melalui Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) menjadi perintis dalam penganjuran NRIC yang mula dilaksanakan pada tahun 2007. Antara anugerah utama yang menjadi rebutan termasuk Projek Penyelidikan Terbaik NRIC 2014, Anugerah Polisi Impak Sosial, Rekabentuk Industri serta Rekacipta dan Inovasi Terbaik. Teks: Marziana Mohamed Alias / Foto: Mohamad Danial Shahri 

  • Created on .
  • Hits: 1115

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024