PP SAINS FIZIK USM CADANG RANGKA PELAN PENDIDIKAN STRATEGIK ORANG ASLI
KUALA BERANG, 26 OGOS 2014 – Pusat Pengajian Sains Fizik, Universiti Sains Malaysia (USM) bercadang untuk merangka pelan pendidikan strategik khas untuk penduduk orang asli Sungai Berua, Terengganu dalam usaha meningkatkan kesedaran ilmu dan pendidikan bagi memajukan taraf hidup mereka.
Ini adalah untuk menyahut hasrat USM dalam membantu kumpulan seperti ini setelah melihat sendiri dan mendekati kumpulan tersebut melalui kunjungan 40 orang staf mendalami dan memahami keperluan yang diinginkan penduduk tersebut.
Dekan Pusat Pengajian Sains Fizik USM Profesor Dr. Mohamad Suhaimi Jaafar, berkata, projek lawatan komuniti ini dapat mengenal pasti aspek dan permasalahan yang dihadapi oleh penduduk tersebut sekaligus mencari langkah terbaik bersama-sama membantu menyelesaikannya.
"Hadirnya USM di sini adalah bukan sahaja ingin melihat adat dan cara hidup masyarakat orang asli Sungai Berua, malah kehadiran ahli akademik dan penyelidik dari Pusat Pengajian dapat mengenalpasti cara terbaik bagi membantu penduduk di sini untuk cenderung mengutamakan ilmu dan pendidikan,” kata Suhaimi.
Tambahnya lagi, USM amat mengharapkan anak muda penduduk Sungai Berua dapat melanjutkan pelajaran sehingga ke universiti agar mereka kembali menyumbang bakti kepada masyarakat dan mengubah set minda sebahagian mereka yang dianggap syukar menerima perubahan.
"Kehadiran USM ke sini adalah sebagai landasan pertama untuk ke peringkat seterusnya melalui kerjasama dan program yang lebih bermanfaat di masa hadapan,” kata Suhaimi.
Ikut sama dalam program lawatan kali ini adalah Ketua Penolong Pendaftar, Pusat Pengajian Sains Fizik merangkap Ketua Projek Lawatan, Zolkifli Yaakob, Pegawai Jabatan Kemajuan Orang Asli kawasan Kuala Berang, Terengganu Razali Ngah, dan wakil Tok Batin Kampung Orang Asli Sungai Berua, Dolah Pelong.
Ujar Suhaimi, pelan pendidikan strategik akan dirancang dengan teliti melalui perbincangan dengan penyelidik Pusat Pengajian sebelum ditetapkan apa yang akan disumbang untuk golongan terbabit.
Sementara itu, Pegawai Jabatan Kemajuan Orang Asli di Kuala Berang Razali Ngah berkata, penduduk orang asli di sini masih berpegang teguh pada adat resam nenek moyang mereka sehingga kini.
Lantas agak sukar untuk diubah set minda mereka yang sukar menerima arus kemajuan dan teknologi dan masih bergantung kepada cara kehidupan dahulu.
"Saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada USM kerana hadir bagi mencari pendekatan terbaik untuk membantu masyarakat orang asli Sungai Berua"
Beliau yang dibantu oleh tiga orang pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi mengurus dan memantau segala aktiviti termasuk aktiviti keagamaan orang asli disitu menambah, penduduk orang asli terdiri dari kaum Semokbri ini telah mencecah 200 orang penduduk dan 100 buah rumah ditempatkan di kawasan pendalaman Kuala Berang, Terengganu.
"Diharap USM sedia berkongsi kepakaran bagi menyumbang idea dan hasil penyelidikan untuk pembangunan perkampungan orang asli di sini" jelasnya lagi.
Sementara itu, Zolkifli Yaakob berkata, kami mengharapkan melalui program sebegini USM dapat membantu anak-anak orang asli untuk berfikiran lebih ke hadapan.
"Pengalaman berjumpa dengan anak-anak orang asli yang berjaya di dalam pelajaran dan terdapat juga graduan dari USM kembali berkhidmat kepada kampung halaman mereka cukup mengharukan saya,” kata Zolkifli.
Tambahnya lagi, USM sentiasa ke hadapan dalam menaungi projek libat sama komuniti sehingga mampu melahirkan graduan dari kalangan golongan susah termasuklah anak muda orang asli dan sudah tiba masanya kita mengorak langkah meneruskan projek komuniti sebegini untuk membantu anak-anak muda kampung mahu pun orang asli mengubah set minda hingga lebih berjaya pada masa hadapan.
Rombongan Pusat Pengajian Sains Fizik Universiti Sains Malaysia ke kawasan penduduk orang asli Sungai Berua diisi dengan pelbagai aktiviti bagi mengeratkan silaturrahim bersama penduduk terbabit.
Antara aktiviti yang diadakan adalah sesi ramah mesra bersama penduduk, aktiviti sukaneka untuk kanak-kanak, pemeriksaan kesihatan percuma, sumbangan pakaian dan edaran makanan untuk penduduk. Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 1347