'SAYA TAHU USM, SAYA INGIN LIHAT ANAK CUCU KE USM'
KUALA BERANG, 26 OGOS 2014 – 'Saya tahu USM walau pun saya jauh dari kota, berita tentang USM sentiasa saya ikut, kejayaan USM cukup membanggakan saya sebagai anak Malaysia'
Itu kata pertama ketika ditanya mengenai Universiti Sains Malaysia (USM) oleh Dolah Bin Pelong, wakil penduduk kampung orang asli Sungai Berua, Kuala Berang, Terengganu yang mengiringi lawatan warga Pusat Pengajian Sains Fizik USM ke perkampungannya.
Dolah, 60 tahun, antara penduduk orang asli yang telah lama menetap di penempatan Sungai Berua turut berharap agar anak cucu dari kaum orang asli itu suatu masa nanti mampu meneruskan pengajian ke USM.
"Di sini kerajaan turut memberikan segala kemudahan kepada kami, termasuk sekolah dan guru-guru yang berkebolehan yang tidak jemu mendidik anak cucu kami di sini"
Dolah yang telah mempunyai 4 orang anak dan bekerja sebagai pengutip hasil hutan menambah, keadaan infrastruktur yang dinikmati oleh penduduk orang asli terutamanya rumah, air bersih, elektrik dan sebagainya membuatkan kehidupan mereka kini lebih terjamin.
"Asalnya kami langsung tiada kemudahan tersebut, hanya tempat tinggal beralaskan kayu hutan dan berbumbungkan daun mengkuang, tetapi atas keprihatinan kerajaan memberikan segala keperluan asas buat kami, membuatkan kami amat menghargai dan bersyukur dengan apa dimiliki," katanya yang juga memaklumkan sebanyak 60 penempatan baru telah dibina untuk penduduk tersebut.
Dolah yang juga ahli jawatankuasa penduduk orang asli Kampung Sungai Berua turut menyuarakan kebimbangannya kepada generasi lama dan baru penduduk di situ yang agak sukar menerima perubahan terutamanya pendidikan.
"Ia amat merisaukan saya selaku yang bertanggungjawab menjaga penduduk di sini apabila melihat mereka yang langsung tidak memikirkan pendidikan untuk anak-anak"
"Atas sebab itu pihak jawatankuasa kampung mengambil pelbagai pendekatan untuk ibu bapa orang asli lebih mendidik anak-anak mereka kepada nilai ilmu pengetahuan"
Bercakap mengenai taraf ekonomi penduduk di situ, Dolah yang juga pakar mencari akar kayu dan gaharu berkata ramai di kalangan penduduk di sini lebih suka hidup dengan cara bekerja lama tanpa mahukan pembaharuan.
"Kita mempunyai ramai pakar dalam selok belok hasil hutan, oleh itu kepakaran dari luar seperti USM contohnya amat diperlukan untuk membantu dari segi penambahbaikan produk hasil hutan dan kaedah lain yang boleh membantu meningkatkan ekonomi penduduk di sini"
Pengalaman menjejak kaki di bumi bertuah penduduk orang asli ini cukup memberi makna buat 40 orang staf Pusat Pengajian Fizik pelbagai peringkat bagi mengenalpasti bantuan seterusnya yang akan disalurkan.
Perjalanan yang mengambil masa selama hampir empat puluh lima minit dari Pengkalan Sungai Gawi, lokasi warga USM berkumpul dan menginap cukup memberi pengalaman berguna melihat pelbagai ragam hidup sekitar perkampungan.
Bertolak ke Sungai Berua seawal jam 8.00 pagi, semua staf Pusat Pengajian Sains Fizik bergotong-royong menyiapkan makanan dan minuman termasuk barangan yang akan disumbangkan, cukup menunjukkan komitmen semua bagi membantu golongan terkebawah tersebut.
Melalui tiga buah kampung iaitu Kampug Badung, Kampung Tok Lawi dan Felcra Bukit Kapah menggambarkan kedudukan perkampungan Orang Asli Sungai Berua ini jauh dari kemajuan serta hiruk pikuk kota.
"Nyata kami di sini amat kuat mengamalkan cara hidup lama dan majoriti kami di sini gemar mengutip hasil hutan untuk menyara keluarga," kata Shukri, salah seorang penduduk yang mempunyai 2 orang anak dan bekerja sebagai petani.
Ketika ditanya mengenai sejauh mana kesedaran menguasai pendidikan oleh kanak-kanak di sini, beliau menjawab sememangnya ibu bapa telah didedahkan dengan pelbagai kaedah untuk memberikan didikan ilmu dan pengetahuan kepada anak mereka.
"Kemudahan dan kelengkapan sudah cukup disumbangkan kerajaan kepada kami, jadi bukan alasan lagi buat kami untuk tidak berusaha mendidik anak-anak terus menguasai ilmu dan pengetahuan"
Tambah Shukri, beliau amat gembira dengan kehadiran USM yang sudi hadir di sini bukan sahaja ingin melawat, tetapi ingin membantu dan berkongsi kepakaran yang dimiliki.
"Siapa tidak mahu melihat anak-anak orang asli berjaya dalam pelajaran, sudah tentu kami mahu kerana dengan ilmu mampu mengubah kami ke arah kehidupan yang lebih sempurna"
Program lawatan ini tamat sekitar jam 12.00 tengah hari setelah pelbagai aktiviti bagi mengeratkan silaturrahim di antara kedua-dua pihak, termasuk sumbangan hadiah dan pakaian kepada penduduk di situ. Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 1418