USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM CEMERLANG DI SUKUM KE-39

basikal 1

PULAU PINANG, 26 Ogos 2014 – Kecemerlangan Universiti Sains Malaysia (USM) dalam penglibatan pelbagai acara sukan sekali lagi ditonjolkan dalam Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Malaysia (SUKUM) kali ke-39 yang berlangsung di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor baru-baru ini.

 

Kontingen USM yang mengambil bahagian dalam 15 acara sukan ternyata tidak menghampakan dengan tuaian enam pingat emas, tujuh pingat perak dan enam pingat gangsa.

Menurut Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi USM selaku ketua kontingen USM, Haji Muhamad Mohd.Hanif, segala penat lelah menjalani latihan dan pengorbanan tenaga dan masa semua yang mengambil bahagian dalam kejohanan ini, ternyata berbaloi.

"Ribuan terima kasih atas semangat kesukanan yang tinggi, tidak kenal erti penat lelah, perjuangan yang dipamer sehingga ke titisan peluh terakhir dan juga atas sokongan serta doa dari semua pihak yang ingin melihat kejayaan USM dalam SUKUM kali ini,' katanya.

Muhamad berharap pencapaian atlet ini dapat dikekalkan dan ditingkatkan ke tahap yang lebih baik kerana secara umumnya, kejohanan seperti ini sebenarnya berperanan dalam menyumbang pembangunan sukan di IPT dan juga negara.

Pasukan berbasikal USM, yang dilatih bekas pelumba basikal kebangsaan, Eddie Norshamsidi Md Rashid merupakan penyumbang emas terbanyak dengan tiga pingat selepas menjuarai kategori berpasukan senior, individu senior dan individu veteran.

"Kita menaruh kepercayaan penuh kepada pelumba-pelumba baharu pada kejohanan ini, dan syukur dengan strategi tepat yang dirancang, mereka dapat membalas kembali kepercayaan pengurusan Universiti, sekaligus membuka lembaran baharu bagi sukan berbasikal di USM,"kafa Muhamad lagi.

Pingat emas selebihnya disumbangkan melalui sukan hoki yang ternyata pasukan USM  tiada tandingan buat pasukan lain apabila menumpaskan Universiti Malaysia Perlis (Unimap) dengan jaringan 7-3 dalam perlawanan akhir.

bola veteran

Pasukan bolasepak veteran USM juga berjaya menebus kehampaan tewas pada perlawanan akhir tahun lalu, apabila muncul johan setelah menumpaskan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), 1-0, hasil jaringan tunggal cantik daripada John Hamid. Manakala satu lagi pingat emas disumbangkan melalui trio wanita Tenpin Boling.

Pasukan Ping Pong Campuran, Trio, Individu Lelaki dan Wanita Tenpin Boling, Berbasikal Veteran dan Individu Lelaki juga tidak menghampakan apabila menyumbang pingat perak buat USM.

takraw

Pingat gangsa pula diperoleh menerusi sukan Sepaktakraw Senior, Futsal Lelaki, Berbasikal Individu dan Tenpin Boling empat sepasukan lelaki dan wanita.

Teks: Mahadzer Mokhtar/Mohamad Danial Shahri / Foto: Pusat Sukan & Rekreasi USM

  • Created on .
  • Hits: 1171

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024