SAINTIS DIGESA KAJI ORANG UTAN
PULAU PINANG, 26 Ogos 2014 - Para saintis digesa supaya menjalankan kajian menyeluruh terhadap orang utan, spesis haiwan primat yang wujud dan berasal dari Kepulauan Borneo, Malaysia dan negara jiran, Kepulauan Sumatera, Indonesia.
Pensyarah dan pakar ekologi terkemuka dari Pusat Pengajian Sains Kajihayat Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dr. Mashhor Mansor berkata, saintis di negara ini perlu mengambil peluang sewajarnya untuk mengkaji biodiversiti orang utan dan menambahkan ilmu berkaitan haiwan tersebut untuk manfaat masa depan.
Katanya, kajian berkenaan haiwan itu turut membuka peluang untuk kolaborasi bersama penyelidik-penyelidik dari universiti terkemuka dunia dan menerbitkan jurnal antarabangsa berimpak tinggi yang boleh dikongsi bersama dunia.
``Saintis luar termasuk dari negara barat, Eropah dan sebagainya amat teruja untuk menjalankan kajian mengenai orang utan namun mereka berdepan sedikit kesukaran kerana haiwan primat itu tiada di negara mereka.
``Sedangkan kita di sini berbeza. Walaupun orang utan yang kian diancam kepupusan wujud di negara sendiri namun tidak ramai dalam kalangan saintis di negara ini mahu menjalankan kajian mengenai ekologi orang utan dan sebagainya,’’ ujarnya.
Beliau yang juga Presiden Malaysian Primatology Society (MPS) berkata demikian dalam diskusi ilmiah berkaitan tajuk Wild Population Orang Utan Will Face Extinction in 20 Years di sini baru-baru ini.
Tambah beliau, Orang Utan atau dalam istilah melayunya dahulu dikenali dengan nama Mawas adalah tergolong dalam keluarga primat tidak berekor termasuk cimpanzi, gorilla dan bonobo.
``Haiwan ini mempunyai persamaan yang cukup tinggi dengan manusia dan banyak yang boleh dikaji mengenai primat unik ini. Adalah amat menyedihkan apabila haiwan ini termasuk dalam kategori 25 haiwan terancam di dunia.
``Jika saintis dunia mengatakan orang utan akan pupus dalam tempoh 20 tahun akan datang, berkemungkinan besar tempoh itu akan menjadi lebih singkat jika tiada usaha ke arah memelihara haiwan ini dan menyelamatkannya dari pupus,’’ katanya.
Beliau juga berkata, kajian terhadap orang utan akan memberikan saintis pelbagai pengalaman dan ilmu baru yang boleh diwariskan untuk manfaat pengetahuan generasi akan datang.
``Sehingga kini masih tidak ramai yang peka dengan kepentingan kita menghargai khazanah alam yang tiada ternilai ini. Malaysia amat bertuah kerana dalam banyak-banyak negara, hanya kita dan Indonesia mempunyai orang utan.
`` Kewujudan orang utan turut mencerminkan keindahan ekosistem dan menjadi simbol kepada biodiversiti hutan hujan tropika yang wujud di negara ini,’’ ujarnya. Teks: Marziana Mohamed Alias
- Created on .
- Hits: 1053