USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

DAUN KETUM AKAN TERSENARAI SEBAGAI DADAH BERBAHAYA

280814-1

PULAU PINANG, 28 Ogos2014 – Pihak kerajaan Malaysia sedang mengambil tindakan untuk membuat pindaaan terhadap Akta Dadah Berbahaya, 1952 bagi menyenaraikan daun ketum sebagai dadah berbahaya ataupun bahan yang terkandung di dalam Jadual Pertama akta berkenaan.

“Sebelum ini daun ketum diklasifikasikan sebagai racun dan jika disabitkan kesalahan samada menanam atau mengedarkannya pesalah adalah tertakluk kepada Akta Racun 1952 yang mana hukumannya adalah hanya denda berjumlah RM5000 dan RM10000,” kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika sidang media sejurus selepas Seminar Gejala dan Bahaya Penggunaan Daun Ketum Peringkat Zon Utara di sini hari ini.

“Penambahbaikan undang-undang mengenai daun ketum di bawah Akta Dadah Berbahaya, 1952 jika diwartakan dalam masa terdekat ini, pesalah akan dikenakan hukuman penjara dan juga sebatan rotan.

280814-2

“Hukuman ini diharap dapat memberikan kesan yang lebih kepada masyarakat terutamanya pengguna dan pengedar daun ketum berbanding wang tunai yang pasti dapat dibayar oleh mereka kerana pulangan yang sungguh lumayan,” tambah Wan Junaidi.

Seminar ini adalah anjuran Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Pulau Pinang dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM), Pejabat Pembangunan Persekutuan Pulau Pinang, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang ini telah dihadiri oleh lebih 1200 orang jemputan terdiri daripada penjawat awam, guru kaunseling dan juga orang awam. 

Pada majlis yang sama, Timbalan Menteri turut menyampaikan ucaptama yang mana menyentuh mengenai penyalahgunaan, kesan negatif dan cara-cara menangani  masalah pengguna daun ketum.

“Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-Ubatan (PPDU) USM telah banyak menjalankan kajian-kajian tingkahlaku pengguna-pengguna ketum serta penilaian ketum dan mitraginina (alkaloid utama ketum) dalam model-model eksperimental khasnya dari aspek toksikologi dan farmakologi,” ujar Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dato’ Dr Muhamad Jantan yang mewakili Naib Canselor USM.

280814-3

“Oleh yang demikian, seminar ini dapat menjadi satu platform yang boleh digunakan untuk kita bersama-sama mencari pendekatan terbaik bagi melepasi kriteria-kriteria yang masih menjadi tembok penghalang dalam usaha membebaskan negara kita daripada masalah dadah termasuk ketum serta bahan-bahan terlarang yang lain,” tambah beliau.

Turut hadir dalam seminar tersebut ialah Ketua Pengarah AADK Malaysia, Suhaimi Abdullah dan juga ahli-ahli panel forum iaitu Pakar Perunding Psikiatrik dan Psikologi Kedah Medical Centre Dr Wan Rushidi Wan Mahmud, Pengarah PPDU USM Profesor Sharif Mahsufi Mansor, Pegawai Perundingan dan Naziran Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Diraja Malaysia ,Salim Emin dan juga Pengarah Pusat Racun Negara USM yang juga moderator, Profesor Madya Razak Lajis. Teks: Nor Rafizah Md Zain/Foto: Mohd Fairus Md Isa 

  • Created on .
  • Hits: 1570

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024