USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SALAM KEMERDEKAAN: DI SINI LAHIRNYA SEBUAH CINTA

merdeka-banner-3

Profesor Dato’ Dr. Omar Osman, Naib Canselor Universiti Sains Malaysia

Salam kemerdekaan. Tahun ini genap 57 tahun kemerdekaan negara, yang seharusnya menggambarkan kematangan kita membangunkan Malaysia tanah air tercinta. 57 tahun adalah satu jangka masa yang panjang dan sama ada sedar atau tidak, berhadapan dengan begitu banyak cabaran untuk dihadapi oleh setiap kita apatah lagi yang berada dalam pengajian tinggi negara.

57 tahun menyaksikan begitu banyak institusi pengajian tinggi yang berada di sekitar kita, baik swasta apatah lagi universiti awam yang pada asasnya didirikan hasil perjuangan mereka yang ingin melihat negara kita dibangunkan oleh anak watan yang memahami susur galur sejarah perjuangan bangsanya, hati budi dan kearifan yang lahir dari kepelbagaian yang ada, kekuatan dan bagaimana untuk nantinya memaknakan kemerdekaan dan kebebasan yang ada.

Dalam tempoh itu juga, kita dapat melihat begitu besar bilangan cerdik pandai yang dilahirkan oleh universiti kita, sama ada yang kemudiannya meneruskan perjuangan yang ada atau ada juga yang mencabar apa yang telah dinikmati sekian lama. Apa pun jua, kita harus akui bahawa sistem pendidikan kita adalah antara yang terbaik dan kita memikul amanah besar untuk terus menambahbaikkan lagi apa yang telah diasaskan sekian lama demi generasi hari muka dan kelangsungan kemerdekaan yang ada.

Ini bermakna walau pun kita telah jauh ke hadapan, namun pada masa yang sama kita tidak boleh lupa kepada asas atau fundamental yang membawa kita di mana kita berada sekarang ini. Kita harus akur dan menerima bahawa pada asasnya kita adalah sebuah negara yang mempunyai kepelbagaian yang harus dihormati dan diraikan kewujudannya. Kita mempunyai masyarakat yang berwarna warni sifatnya, rencam budaya dan kearifannya, teras dan asas yang kuat dalam perpaduan dan kesatuan serta kita berpegang teguh kepada jati diri dari pelbagai latar belakang budaya yang kita warisi dari nenek moyang kita. Kita mempunyai tradisi hebat dan besar yang menjadi latar budaya dan pembangunan sosio ekonomi dan pembangunan yang kuat.

Semua ini terkandung jelas dalam Rukun Negara yang menunjukkan kebijaksanaan para pemimpin dan cendekiawan kita saat itu dalam menyediakan rumus pembangunan yang sangat jelas. Daripada Kepercayaan Kepada Tuhan dengan menjadikan agama sebagai tunjang kekuatan kita sehinggalah ikrar kita untuk menjaga Kesopanan dan Kesusilaan, satu tertib waadat yang sangat murni dan berusaha untuk melestarikan apa yang ada dan sedia dinikmati selama ini.

Sebagai orang yang berilmu dan sayangkan tanah airnya, kita perlu melihat semula segala aturan dan asas pembangunan negara yang kita bangunkan sekian lama. Kemajuan dalam teknologi dan pelbagai bidang lainnya seharusnya menyokong usaha kita membangunkan negara dan tanah air tercinta. Teknologi dan pencapaian lainnya sepatutnya memperkukuhkan apa jua yang kita bangunkan selama ini dan tidak disalahguna untuk tindakan-tindakan yang boleh mengancam proses pembangunan yang ada.

Kerana itu, kita sangat menekankan kepada budaya keilmuan dan 8 teras lain yang terdapat dalam nilai-nilai untuk memacu kecemerlangan termasuklah melihat segala usaha dalam konteks pembangunan Masa Hadapan, Kelestarian, Kelainan, Kesejagatan, Kemanusiaan, Perubahan, Pengorbanan dan pada akhirnya kita ingin mewujudkan dunia yang mementingkan Kesejahteraan demi kelangsungan umat manusia dan alam seluruhnya.

Kemerdekaan bermakna kita memberikan sepenuh komitmen dan sentiasa mempunyai kasih sayang yang mendalam untuk tanah air dan negara sebagai tanah tumpah darah kita. Kita menguasai ilmu untuk meneruskan usaha yang dimulakan oleh para negarawan dan pejuang terdahulu. Kita sentiasa memikirkan kepentingan bangsa dan negara mengatasi kepentingan peribadi dan kelompok sendiri.

Universiti sebagai tempat yang mempunyai kepelbagaian ini seharusnya diterokai sepenuhnya segala potensi yang ada untuk tujuan tersebut. Kita memelihara asas-asas fundamental yang ada dan memperkasakannya secara berterusan dengan ilmu pengetahuan yang ada. Kita menggunakan sepenuh kreativiti dan inovasi untuk menerokai potensi dalam memajukan diri dan mendidik masyarakat sebagai satu kelompok dunia yang jauh lebih luas. Kerana itu, nilai yang kita pegang ialah nilai global dengan mengingatkan kembali kepada istilah “glocal” yang berfikir secara global dan bertindak mengikut adab, budaya dan kepelbagaian “local” atau masyarakat setempat dengan segala nilai-nilai yang ada.

Memandangkan kita adalah sebahagian daripada unit masyarakat yang lebih besar dan rakyat adalah tunjang kekuatan universiti dan para ilmuan, jangan lupa sama sekali terhadap tanggungjawab dan amanah dalam menjaga kesejahteraan rakyat dan negara. Kerana itu Universiti akan sentiasa berpegang kepada inisiatif yang berteraskan rakyat – sama ada merakyatkan ilmu, merakyatkan penyelidikan malah juga merakyatkan universiti dalam konteks berkongsi dengan masyarakat dan dunia kepakaran yang ada dalam meningkatkan kesejahteraan negara dan dunia seluruhnya.

Inilah sumbangan kita kepada negara dalam konteks kemerdekaan yang dikecapi selama ini. Marilah kita berganding bahu dan meneruskan perjuangan yang belum selesai ini. Marilah kita bina kekuatan bersama-sama tanpa mengira siapa kita – sama ada mahasiswa, calon siswazah, pensyarah dan para profesor, alumni malah juga segenap warga universiti untuk menggembleng kekuatan membuktikan di sinilah lahirnya sebuah cinta, di sinilah kita curahkan segala budi dan jasa, di sinilah segalanya bermula dengan peluang dan kesempatan untuk berbakti kepada pertiwi dengan penuh ikhlas dan tenaga upaya yang diberikan Tuhan kepada kita sebagai rakyat sebuah negara berdaulat dan merdeka.

Salam kemerdekaan dan terima kasih Malaysia. Terima kasih USM dan tanah air tercinta. Saya Sayang USM. Kita sayang USM. Bersama-sama kita pacu kecemerlangan demi negara.

  • Created on .
  • Hits: 1354

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024