USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

INNOVAFOOD 2014 PAMERKAN PRODUK MAKANAN INOVASI TINGGI

20140827 085846

PULAU PINANG, Ogos 2014 - Pelbagai idea dan hasil penyelidikan telah dikongsi dan dipamerkan di Persidangan Antarabangsa Inovasi Makanan (INNOVAFOOD) 2014 bertemakan Transforming Molecules into Innovative Products yang berlangsung di sini baru-baru ini.

Persidangan selama tiga hari tersebut yang dianjurkan oleh Pusat Pengajian Teknologi Industri Universiti Sains Malaysia (USM) telah dihadiri oleh kira-kira 100 penyelidik tempatan, ahli akademik, sektor swasta serta peserta luar negara dengan lapan penceramah, 28 pembentangan oral dan 41 pembentangan poster.  

"Yang dimaksudkan dengan 'idea-idea inovatif' ialah idea-idea yang asli, segar, bijak dan kreatif," kata Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USM, Profesor Dato' Dr. Muhamad Jantan di majlis perasmian persidangan tersebut yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di sini.

Beliau berharap persidangan ini akan dapat memupuk hubungan jaringan jangka panjang dalam kalangan peserta dalam penghasilan produk makanan yang inovatif.

20140827 085756

"Kakitangan USM sendiri telah menghasilkan beberapa produk seperti mi kurus, biskut yang dihasilkan daripada hampas daun teh dan roti daripada biji buah nangka," tambah Muhamad Jantan.

Katanya lagi, persidangan ini diharap dapat membuka peluang kepada penyelidik dari sektor industri untuk bertemu dengan ahli akademik untuk perkongsian ilmu dan pemindahan teknologi serta menggalakkan kolaborasi penyelidikan.

Sementara itu, dalam pembentangan plenari, penceramah Glen Crofskey dari Kerry Ingredients  berkata penguraian yang berlaku dalam susu dan perut adalah bersifat Protein-selective.

"Penghadaman protein susu di dalam perut menyebabkan pembebasan peptida (molekul yang terdiri dari 2 atau lebih asid amino) susu yang aktif secara biologi dan bersifat immunomodulatory dan antibakteria," katanya.

Beliau juga menyatakan bahawa kebanyakan peptida dalam sampel susu dan gastrik diperolehi daripadabeta-casein yang merupakan peptida utama dalam susu ibu dan hasil penghadaman perut bayi.

20140827 085407

Bagi topik Dermatitis Atopik (AD) pula, beliau memaklumkan bahawa kes-kes AD sedang meningkat di seluruh dunia dengan kenaikan mendadak direkodkan di kebanyakan negara-negara maju.

"Oleh itu, pencegahan AD adalah penting untuk kesihatan masyarakat kerana ianya berhubungkait dengan ketidakselesaan bayi di mana pada tahun 2003, Institut Kesihatan Amerika Syarikat menganggarkan sebanyak RM3.16 bilion telah dibelanjakan untuk penjagaan kesihatan yang berkaitan dengan AD.

Turut hadir pada persidangan itu ialah Dekan Pusat Pengajian Teknologi Industri USM yang juga merupakan Pengerusi persidangan, Profesor Dr Azhar Mat Easa; wakil dari Fakulti Sains dan Teknologi Makanan Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr. Abdul Salam Babji; pegawai-pegawai utama USM; dan para pembentang. - Terjemahan: Siti Faizah Abd Halim/Teks dan foto: Yong Check Yoon

 

 

  • Created on .
  • Hits: 1403

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024