USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM MEMBERI PELUANG KEPADA SEMUA KELOMPOK MASYARAKAT DALAM MERAKYATKAN ILMU

010914-9

PULAU PINANG, 1 September 2014 - Dalam usaha merakyatkan ilmu pengetahuan, Universiti Sains Malaysia (USM) tidak mengenepikan mana-mana kumpulan masyarakat, apatah lagi dalam usaha untuk mendidik mahasiswanya untuk menghormati dan meraikan kepelbagaian yang ada di kampus dan di di negara ini.

Naib Canselornya, Profesor Dato' Dr. Omar Osman berkata, kerana itu USM pada tahun ini memperkukuhkan lagi usaha menawarkan pengajian kepada pelbagai kumpulan masyarakat untuk mengikuti pelbagai pengajian yang ada seperti dalam kalangan Orang Kelainan Upaya (OKU), Orang Asli, warga budaya dan warga sukan.

USM menerima masuk kira-kira 4,083 orang yang dipilih dalam kalangan lebih 21,000 orang calon yang memohon masuk USM dan lebih 7,000 yang membuat rayuan. 2,919 orang adalah di kampus induk Pulau Pinang, 519 orang di Kampus Kejuruteraan Nibong Tebal Pulau Pinang dan 645 orang di Kampus Kesihatan Kubang Kerian Kelantan yang mendaftar serentak hari ini.

010914-10

Jumlah tersebut termasuk 102 orang pelajar yang diterima masuk mengikuti pengajian Sains Perubatan melalui Program Antarabangsa Doktor Perubatan USM-KLE India dan 70 orang pelajar Diploma Kejururawatan yang mengikuti pengajian di Kampus Kesihatan, Kelantan.

USM telah mengenalpasti sekurang-kurangnya 45 orang atlet yang mewakili negeri dan negara untuk pengajian di USM di bawah program Warga Sukan, 122 orang dalam kelompok kumpulan yang tercicir dan dalam kelompok isi rumah 40% terendah di negara ini dan sedang menunggu sekiranya terdapat mana-mana OKU yang menukar pengajian dari IPT lain yang kemungkinan kurang kemudahan seperti mana yang terdapat di USM dalam membantu memudahkan pengajian mereka.

Beliau bercakap kepada pemberita Sidang Media Khas sempena Kemasukan Pelajar baharu di USM hari ini.

010914-8

Hadir sama ialah Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal dan Pembangunan Pelajar) Profesor Dr. Adnan Hussein, Timbakan Naib Canselor (Hal-Ehwal Akademik dan Antarabangsa) Profesor Dato' Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Profesor Dato' Dr. Muhamad Jantan dan Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) Profesor Dato' Dr. Susie See Ching Mey.

Menurut Omar, USM juga menerima 31 orang pelajar baharu ijazah pertama dari 15 buah negara seperti Bangladesh, Republik Chad, Republik Rakyat China, India, Indonesia, Iraq, Jepun, Jordan, Kazakhstan, Korea, Libya, Pakistan, Filipina, Rusia dan Thailand.

"Kita mengharapkan mahasiswa kita yang berjumlah lebih 32,000 orang yang sedia ada dapat berinteraksi, saling menghormati dan menghargai kepelbagaian yang ada dalam membentuk komuniti global dengan nilai-nilai universal yang dapat membantu mereka memasuki dunia kerjaya yang luas di mana sahaja pada masa hadapan," kata Omar.

010914-7

Tambahnya, USM juga sedang berusaha mendapatkan para penaja yang dapat membantu segi dana untuk pelajar-pelajar cemerlang dalam membolehkan mereka menerokai dunia masa hadapan yang lebih luas melalui pelbagai program yang sedang disusun dan akan dilaksanakan nanti.

- Teks: Mohamad Abdullah/Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1211

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024