BANGGA JADI SEBAHAGIAN KELUARGA BESAR USM
KUBANG KERIAN, KELANTAN, 1 September 2014 – Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia menyambut kedatangan para mahasiswa baharu untuk Sidang Akademik 2014/2015 dengan penuh meriah.
Situasi kampus lebih sibuk berbanding hari biasa bermula di awal pagi apabila ibu bapa para mahasiswa baharu USM hadir mendaftarkan anak-anak mereka bersama-sama sanak saudara yang lain.
Rata-rata para mahasiswa yang ditemui ternyata teruja dan bersyukur kerana terpilih untuk menjadi sebahagian ahli keluarga besar USM. Jelas terukir senyuman manis di wajah masing-masing.
“Saya terharu ketika mula-mula melangkah masuk di pintu utama kampus ini tadi kerana diberi peluang untuk menjadi penuntut di universiti yang tersohor ini, apatah lagi bergelar mahasiswa Universiti APEX yang pertama di Malaysia,” ujar Mohamad Saufi Zuhan Mail, 20 yang berasal dari Lundang, Kota Bharu, Kelantan.
Beliau amat berharap agar di akhir pengajiannya nanti, beliau mampu menggenggam segulung ijazah demi membantu keluarganya yang susah.
Kampus Kesihatan, USM menawarkan 645 tempat bagi sesi pengambilan kali ini termasuk 12 orang mahasiswa tidak berkemampuan yang tergolong dalam “bottom billion” dan 3 orang pelajar Indonesia, India dan Pakistan.
Selain itu 102 orang mahasiswa yang akan mengikuti pengajian di KLE Universiti, India dalam Program Antarabangsa Doktor Perubatan USM-KLE.
Bagi Nurul Fathia Mohmood, 19 dari Muar, Johor yang terpilih untuk menyambung pengajiannya dalam bidang Perubatan pula memberitahu tidak sabar untuk memulakan sesi kuliahnya yang pertama kerana sangat tertarik dengan skop pengajian ditawarkan oleh USM dalam bidang perubatan yang disifatkan beliau sebagai terbaik di Malaysia.
“Moga-moga impian saya untuk bergelar seorang doktor pakar akan tercapai dan dapat menjadi contoh terbaik kepada adik-adik yang lain,” katanya.
“Maklumlah saya ini anak sulung, mestilah tunjukkan teladan yang terbaik untuk mereka,” tambahnya lagi.
Sesi pendaftaran mahasiswa baharu berlangsung serentak di semua kampus USM di Kampus Induk, Pulau Pinang dan Kampus Kejuruteraan, Nibong Tebal, Pulau Pinang dan Kampus Kesihatan Kelantan.
- Teks & Foto: Mohd Rodin Che Yusoff
- Created on .
- Hits: 966