USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

TIDAK MALU BAWA NAMA ORANG ASLI

IMG 2266

PULAU PINANG, 2 Sept.2014 – ``Saya tidak malu malah berbangga membawa nama orang asli walau di mana berada dan berharap kejayaan menyambung pelajaran hingga ke peringkat universiti akan menjadi pendorong buat semua masyarakat orang asli untuk terus berjaya.’’

Demikian kata seorang pelajar baharu Universiti Sains Malaysia (USM) yang terpilih dalam kalangan masyarakat orang asli, Mohd Haziq Huda, 20 dari Kampung Sungai Dangan, Johor Bahru ketika ditemui di sini semalam.

Haziq terpilih mengikuti pengajian dalam jurusan Pengurusan di USM, menyertai kira-kira 4,083 pelajar baharu yang mendaftar bagi kemasukan sidang akademik 2014/2015 di ketiga-tiga kampus USM termasuk kampus induk, kampus kejuruteraan (Nibong Tebal) dan kampus kesihatan, Kubang Kerian.

Pun begitu, anak sulung dari lima beradik ini turut mengakui kehidupannya kini jauh telah berubah, apatah lagi kedua ibu bapanya telah lama berhijrah dan menetap di Johor Bahru.

``Kini hanya tinggal nenek yang masih menetap di perkampungan orang asli di Pontian. Hanya nenek tempat kami mencungkil cerita-cerita lama di perkampungan orang asli.

``Saya dan adik-adik yang lain telah dibesarkan di bandar dan sudah tidak tahu bertutur dalam bahasa orang asli. Pun begitu saya bangga menjadi sebahagian keluarga masyarakat orang asli dan menjadi contoh yang baik buat mereka,’’ katanya.

IMG 2257

Dalam pada itu, seorang lagi pelajar yang berjaya memasuki USM di bawah saluran khas keluarga berpendapatan rendah, Lee Mooi Heoh, 20 dari Bukit Tambun pula berkata, beliau berasa amat bertuah berjaya terpilih menjadi warga USM.

``Saya akan jadikan pengalaman hidup sebagai pendorong semangat untuk berjaya. Saya bukan dari keluarga yang senang dan berharap kejayaan menyambung pengajian menjadi batu loncatan untuk mengubah nasib keluarga,’’ ujarnya.

Anak kepada buruh binaan, Lee Poh Hock, 57, itu bersemangat untuk mengikuti pengajiannya dalam jurusan Terjemahan dan Interpretasi, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK).

Bapanya pula berkata, walaupun rumah akan menjadi sunyi kerana Mooi Heoh adalah anak tunggal beliau dan isteri, Tam Pek Sim, 54, namun kejayaan anaknya menjejakkan kaki ke menara ilmu sedikit sebanyak mengubat kesunyian mereka.

``Saya gembira dia terpilih ke USM. Anak tunggal saya ini menjadi kebanggaan dan saya bersama isteri sentiasa berharap beliau dapat menyesuaikan diri dan berjaya dalam pengajiannya,’’ katanya.

Terdahulu, Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman dalam sidang media turut memberitahu, Universiti melalui agenda Corporate Social Responsibility (CSR) memberi ruang dan peluang kepada pelajar daripada golongan tercicir dan kurang berkemampuan untuk melanjutkan pengajian di USM.

Katanya, calon ini terdiri dari kelompok 122 pelajar dengan pendapatan isirumah 40 peratus terendah atau lebih sinonim dengan istilah golongan terkebawah (Bottom Billion).

Tambah Omar, USM turut prihatin dan memberi peluang kepada golongan kelainan upaya (OKU) untuk merealisasikan cita-cita menggenggam ijazah dengan memberi perhatian khusus dalam pemilihan OKU dengan pengambilan lebih kurang 15 calon. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd. Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 968

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024