USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KENTAL WALAU PERGERAKAN TERBATAS

IMG 2238

PULAU PINANG, 1 September 2014 – Keadaan fizikal beliau membataskan pergerakan namun semangat dan mental beliau adalah sama malah lebih daripada pelajar normal lain.

Nur Jannaton Abdul Jalil, 19 pelajar kelainan upaya dengan ketinggian 100 sentimeter diterima masuk ke Universiti Sains Malaysia (USM) mengikuti pengajian Sains Fizik Perubatan walaupun minat beliau kepada melukis yang sangat mendalam.

“Niat dan cita-citanya ingin menjadi seorang Arkitek, namun dengan daya dan upaya beliau yang terbatas, hasrat itu hanya terkubur,” kata ibu kepada Nur Jannaton, Hafshah Kamis, 49.

20140901 114217

“Saya gembira diterima masuk ke USM dan saya berharap rakan-rakan di sini dapat menerima kehadiran saya,” kata Nor Jannaton yang mendaftar di sini dan ditempatkan di Desasiswa Aman Damai.

“Sebelum ini saya mengikuti pengajian di Kolej Matrikulasi Gopeng dan bapa saya, Abdul Jalil Zainol Abidin tidak jemu-jemu menghantar dan mengambil saya setiap hari,” tambah Nur Jannaton yang berkeadaan sedemikian sejak lahir pada 5 November 1995.

“Harapan kami supaya beliau berjaya dalam hidup serta memperolehi apa sahaja yang diingini,” kata Hafshah dalam nada sebak.

“Saya mempunyai harapan yang tinggi terhadap beliau dan berharap akan sambung pelajaran di peringkat tertinggi,” tambah bapanya yang juga seorang pesara tentera. 

IMG 2201

“Beliau mempunyai mental yang sangat kuat malah di kalangan adik beradik kami lima orang beliau yang juga adik bongsu adalah yang paling kental semangat,” ujar kakak kedua beliau, Nur Ashikin.

Kedua ibu bapa Nur Jannaton menyara keluarga dengan berniaga kecil-kecilan seperti goreng pisang, laksa dan makanan ringan berdekatan rumah mereka di Seri Iskandar Perak.

USM juga menerima seramai 122 orang pelajar dalam kelompok kumpulan yang tercicir atau Bottom Billion (BB) dan dalam kelompok isi rumah 40% terendah di negara ini .

IMG 2275

Salah seorang pelajar BB, Syazwani Said Idrus berterima kasih kepada USM kerana mewujudkan kriteria seperti ini yang dapat membantu beliau meningkatkan taraf ekonomi keluarga selepas tamat pengajian nanti.

“Selepas kematian bapa, ibu menyara keluarga dengan hanya bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan gaji kurang RM600 sebulan.

“Saya juga bersyukur kerana Naib Canselor ada memaklumkan bahawa sedikit bantuan akan diberikan kepada golongan seperti saya bagi meneruskan pengajian di sini,” ujar Syazwani yang ditemani ibu dan bapa saudara ketika mendaftar di sini hari ini.

IMG 2227

Nur Jannaton dan Syazwani adalah antara 4083 orang yang dipilih dalam kalangan 21,000 orang calon yang memohon pengajian di USM. 2919 orang adalah di kampus induk Pulau Pinang, 519 orang di Kampus Kejuruteraan Nibong Tebal Pulau Pinang dan 645 orang di Kampus Kesihatan Kubang Kerian Kelantan yang mendaftar serentak hari ini. Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Mohd Fairus Md Isa 

  • Created on .
  • Hits: 1293

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024