USM BERUSAHA TINGKAT PENGIKTIRAFAN ANTARABANGSA
KUBANG KERIAN, KELANTAN, 2 September 2014 - Universiti Sains Malaysia (USM) akan tingkatkan usaha untuk menambahkan bilangan siswazah bekerja di pelbagai negara dunia dengan meningkatkan daripada 19% kepada peningkatan lebih besar.
USM juga akan menambahkan penawaran program ijazah berkembar dengan universiti-universiti terkenal dunia terutamanya pada peringkat ijazah tinggi bagi tujuan tersebut.
Demikian dinyatakan oleh Naib Canselor USM Profesor Dato' Dr. Omar Osman kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Siswa Lestari Kampus Kesihatan hari ini yang melibatkan lebih 600 orang mahasiswa baharu Sains Perubatan, Sains Pergigian dan Diploma Kejururawatan serta sebahagian calon siswazah.
"Yang terbaharu ialah kerjasama USM dengan Eastern Bavarian University of Technology (OTH), Regensburg, German untuk progran Sarjana Kejuruteraan (Kejuruteraan Elektrik dan Sistem Mikro) oleh German dan Sarjana Sains (Fizik Keadaan Pepejal) oleh USM secara berkembar dengan pengambilan 15 orang calon yang akan mendapat ijazah berganda," kata Omar.
Menurutnya lagi, USM juga akan memastikan agar usaha memperkasa ilmu dapat dilakukan dengan cepat dengan membangunkan kekuatan dan jaringan termasuk dalam kalangan pensyarah.
Pada masa ini USM berusaha mewujudkan konsep "global classroom" dan pembelajaran berteraskan industri untuk diiktiraf oleh pelbagai pihak pada peringkat antarangsa terutamanya dalam bidang akademik.
Naib Canselor USM juga turut sekali lagi menegaskan untuk menjadikan Kampus Kesihatan USM sebagai pusat rujukan serantau melalui pelaburan yang khusus dalam meningkatkan integrasi dengan pelbagai kekuatan kepakaran yang ada.
"Kerana itu kita melihat penarafan, pengiktirafan dan kolaborasi dengan pelbagai pihak sebagai asas penting untuk memastikan USM dapat lahirkan siswazah berkelas dunia,"kata Omar.
Terdahulu ketika berucap kepada mahasiswa baharu, Naib Canselor USM itu meminta agar mereka sentiasa menghayati 9 teras APEX iaitu keilmuan, kelestarian, kesejagatan, kelainan, kemanusiaan, pengorbanan, masa hadapan, perubahan dan kesejahteraan dengan mengadunkan bersama-sama 5 prinsip Rukun Negara dan motto Kami Memimpin untuk mencapai kejayaan.
"Saudara-saudari perlu memacu kecemerlangan dengan menguasai nilai-nilai dan budaya global untuk diterima di mana sahaja sesuai dengan hasrat untuk membolehkan siswazah USM bekerja di mana sahaja kelak," kata Omar.
Hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal dan Pembangunan Pelajar) Profesor Dr Adnan Hussein, Timbalan Naib Canselor (Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat) Profesor Dato' Dr. See Ching Mey, Pengarah Kampus Kesihatan Profesor Dato' Dr. Mafauzy Mohamed dan dekan serta ketua-ketua jabatan Kampus Kesihatan. Teks dan foto: Mohamad Abdullah
- Created on .
- Hits: 980