USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

JANGAN BERPUAK-PUAK DAN BENTUK DAYA TAHAN DIRI DENGAN ILMU BERMULA DI UNIVERSITI

020914-1

PULAU PINANG, 3 September 2014 - “Di sini 30 tahun lalu bermulanya pembentukan diri seorang anak muda dan jatuh cinta kepada universiti dan negara dan di sini tempat pembentukan nilai yang mantap seawal mungkin ketika berada di kampus universiti kerana apabila memasuki dunia kerjaya, seseorang itu berhadapan dengan keperluan membuat pertimbangan terhadap sejauh mana berupaya mempertahankan nilai integriti,  daya saing dan daya tahannya dan nampaknya sehingga kini USM berjaya melahirkan siswazah yang "versatile” dan  serba boleh dalam memenuhi tuntutan tersebut.

Demikian kata Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Haji Abu Kassim Mohamed dalam ucapannya kepada pelajar-pelajar baharu Universiti Sains Malaysia (USM) di Dewan Tuanku Syed Putra USM di sini.

020914-2

020914-3

Hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal dan Pembangunan Pelajar) Profesor Dr Adnan Hussein, Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Akademik dan Antarabangsa) Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan, Timbalan Naib Canselor (Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat) Profesor Dato' Dr. See Ching Mey, Pengarah SPRM Pulau Pinang Dato’ Samarajoo Manikam, Pendaftar Siti Zubaidah A. Hamid dan beberapa orang pegawai kanan universiti.

"Kita boleh berbeza pendapat tetapi jangan amalkan sikap berpuak-puak kerana sebagai pelajar kita patut mempunyai pemikiran yang tersendiri apatah lagi sebagai pemimpin pelajar yang seharusnya mempunyai idealisme tersendiri tetapi tidak  perlu taksub hingga memperkecilkan orang lain atau pihak-pihak lain yang tidak sependapat dengan pandangan kita,” tegas Abu Kassim.



020914-4

020914-5

Beliau turut mengingatkan pelajar bahawa tujuan universiti ialah untuk mematangkan seseorang pelajar kerana itu, seelok-eloknya tidak terlibat dengan politik serta berusaha membina keyakinan diri dengan mengambil bahagian secara aktif dalam aktiviti kampus yang membolehkan seseorang mahasiswa mengasah kematangan berfikir walau pun mempunyai perbezaan pendapat.

“Sebenarnya dari pengalaman saya sebagai pemimpin pelajar di kampus, Universiti mengajar kita tentang hakikat hidup antaranya yang utama ialah biar sesibuk mana pun dengan pelbagai aktiviti berpersatuan namun tetap berpegang kepada prinsip iaitu tepat datang kuliah dan jangan ponteng sebagai disiplin penting yang berguna apabila mula bekerja,” kata Abu Kassim.

020914-6

020914-7

 


Beliau turut menasihatkan pelajar agar mempunyai  sikap yang betul serta memilih  kawan yang dapat membantu mencapai kejayaan serta membentuk peribadi untuk membangunkan kerjaya pada masa hadapan terutamanya yang berkaitan dengan integriti.  

"Ilmu pengetahuan adalah satu keperluan untuk kerjaya tetapi nilai dan sikap yang betul akan membantu dalam budaya kecemerlangan dan berpegang teguh kepada integriti kerana isu integriti sangat penting dalam menentukan daya tahan daripada terjebak dalam hal-hal negatif,” tambah Abu Kassim.

IMG 2750

IMG 2503

Beliau turut menjawab soalan-soalan daripada mahasiswa baharu dan menjelaskan bahawa Malaysia adalah negara yang paling kurang terlibat dengan rasuah dalam kajian yang dilakukan oleh pertubuhan antarabangsa dengan hakikat bahawa tiada sebuah negara di dunia yang benar-benar bersih dari gejala rasuah.

Abu Kassim juga menegaskan bahawa pihaknya sentiasa telus dalam menjalankan siasatan tanpa mengira kedudukan seseorang dalam menjamin integriti dipertahankan serta menunaikan tanggungjawab yang dipikul oleh SPRM namun sama-sekali tidak mengenepikan hak seseorang rakyat berasaskan Perlembagaan Persekutuan.

IMG 2687

“Dalam konteks universiti misalnya, kita bersyukur kerana sehingga kini tidak ada satu kes pun yang dilaporkan melibatkan suapan untuk memasuki universiti awam di negara ini seperti mana banyak berlaku di sesetengah negara luar,” tegas Abu Kassim. Teks: Mohamad Abdullah / Foto: Mohd Fairus Md Isa 

  • Created on .
  • Hits: 2079

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024