PROFESOR DR. ABDUL LATIF AHMAD: ANAK PENOREH GETAH MENCIPTA NAMA SEBAGAI SAINTIS BERTARAF DUNIA
PULAU PINANG, 5 Sept. 2014 - Seorang daripada saintis Malaysia dari Universiti Sains Malaysia (USM) yang beberapa bulan lalu tersenarai dalam Thomson Reuters minda saintifik terbaik dunia (world’s best and brightest scientific minds) - The World’s Most Influential Scientific Minds: 2014, terkejut apabila diumumkan sebagai salah seorang penerima Anugerah Merdeka (Merdeka Award) 2014 oleh Penaung Diraja Pemegang Amanah Merdeka Award, Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Kuala Lumpur malam tadi.
Profesor dalam bidang Membran Sains dan Teknologi dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia USM, Profesor Dr. Abdul Latif Ahmad, 47, menerima pengiktirafan sebagai "Outstanding Scholastic Achievement" - selaku seorang sarjana yang telah memberi sumbangan besar dalam penyelidikan dan pembangunan teknologi dalam bidang sains polimer, rawatan air kumbahan dan teknologi pengasingan membran.
Merdeka Award diperkenalkan pada tahun 2007 melalui inisiatif Petronas, ExxonMobile dan Shell untuk mengiktiraf sumbangan individu dan organisasi yang menyumbang kepada pembangunan Malaysia dalam lima kategori dengan setiap mereka menerima sijil, trofi dan wang tunai RM500,000.
Dalam temu bual khas dengan beliau, Abdul Latif mengucapkan kesyukuran kepada Allah S.W.T. atas anugerah tersebut dan menyifatkannya sebagai pengiktirafan besar kepada penyelidik dan kepakaran anak merdeka sepertinya.
"Saya rasa amat bersyukur dan agak terkejut malah tidak menyangka pengiktirafan yang diberikan ini memandangkan penerima pada tahun-tahun sebelum ini kesemuanya hebat-hebat yang sudah banyak berjasa kepada negara," kata Abdul Latif.
Namun, tambah beliau, pengiktirafan ini tentunya akan menyuntik semangat untuk menjalankan penyelidikan yang lebih berimpak tinggi supaya boleh dimanfaatkan oleh negara dan masyarakat sejagat suatu hari nanti.
Berasal dari Beranang Selangor, Abdul Latif merupakan anak bongsu dari lapan orang adik beradik. Tokoh akademik ini juga pernah menyandang jawatan Dekan PPK Kimia dan Dekan Penyelidikan, Sains Fundamental USM.
"Saya dibesarkan dalam kalangan keluarga penoreh getah yang agak miskin dan bergelar anak yatim sejak berumur 3 tahun apabila bapa meninggal dunia pada tahun 1970 dan hanya dibesarkan dengan belaian kasih seorang ibu," cerita apabila ditanya tentang latar belakangnya.
Beliau yang bercita-cita menjadi pendidik sejak kecil untuk berkongsi dan menyebarkan ilmu memperolehi ijazah, B.Eng Chemical Engineering (1990), MSc Chemical Engineering (1991) dan PhD (Membrane Technology)(1994), kesemuanya dari University of Wales, Swansea, United Kingdom.
Berpegang kepada kata-kata hikmah “Anything we do, we must have the innocence of a child, the endurance of a camel, and the courage of a lion" dan “there are no boundaries to what we can do, break the chains of limitations and go beyond the horizon” Profesor Dr. Abdul Latif sentiasa berusaha untuk meningkatkan tahap kepercayaan dan keyakinan masyarakat terhadap teknologi dan kepakaran tempatan termasuk dalam menyelesaikan masalah-masalah yang ada seperti untuk merawat air.
Beliau sering berpegang bahawa setelah begitu lama merdeka, sampai masanya usaha dibuat untuk memastikan dan merealisasikan hasrat negara ini menjadi peneraju teknologi, bukan hanya semata-mata pengguna teknologi.
"Ambil contoh penggunaan teknologi membran dalam merawat air, sepatutnya kita boleh gunakan sepenuhnya di negara ini kerana telah mempunyai ramai pakar dalam bidang berkenaan di pelbagai universiti yang sepatutnya disatukan dan mencari jalan untuk menurunkan kos penghasilan teknologi ini sebagai penapis yang dapat menghasilkan air berkualiti kepada masyarakat dalam jangka panjang seperti yang dilakukan oleh negara jiran yang memanfaatkan teknologi ini lama dahulu," kata Abdul Latif.
Membran adalah teknologi penapisan paling halus dari molekul dan sel seumpama penapis biologi yang terdapat dalam tubuh manusia seperti peranan buah pinggang manusia. Teks: Mohamad Abdullah/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 7776