USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PRODUK PENYELIDIKAN USM TEMBUSI PASARAN

DSC 5743

PULAU PINANG, 4 September 2014 – “Saya berharap lebih banyak produk penyelidikan dan juga teknologi hasil kerja penyelidik dan pensyarah USM menembusi pasaran tempatan dan antarabangsa,” ujar Naib Canselor Universiti Sains Malaysia, Profesor Dato’ Dr Omar Osman.

“USM akan bergerak dengan lebih fokus dalam penghasilan produk dan penyelidikan dalam bidang yang berasaskan teknologi hijau melalui pengkomersialan dan program pemindahan ilmu dan teknologi kepada masyarakat,” tambah Naib Canselor ketika berucap sempena majlis penandatanganan Memorandum Perjanjian di antara anak syarikat USM, USAINS Holdings Sdn. Bhd. (UHSB) dengan Anano Sphere Sdn. Bhd. (Anano) di sini hari ini.

Memorandum Perjanjian tersebut dimeterai bagi menjalinkan kerjasama dalam pemasaran produk Nano-TiO2 hasil penyelidikan pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral USM, Profesor Madya Dr. Srimala Sreekantan.

DSC 5749

“Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia, pada masa ini seramai 4.3ribu orang meninggal dunia setiap tahun disebabkan pendedahan kepada pencemaran udara.

“Oleh yang demikian, saya bersama-sama sekumpulan penyelidik menghasilkan Nano-TiO2, penyelesaian kepada pembersihan udara di kawasan tertutup untuk menyahtoksikkan udara dengan mengeluarkan Sebatian Organik Meruap (VOC) dan pada masa yang sama membasmi bakteria dan kulat,” terang Srimala.

Nano-TiO2 telah menarik perhatian syarikat Anano untuk membeli teknologi tersebut dan USM telah menjalinkan kerjasama dengan syarikat tersebut sejak dua tahun lalu.

DSC 5750

Melalui penggunaan Nano-TiO2 samada di dalam kereta atau bilik, bilangan bakteria dikesan berkurang sehingga lebih 60 kali ganda. Hal ini dibuktikan oleh Srimala apabila beliau menunjukkan demonstrasi kepada semua dengan menyemburkan Nano-TiO2 di papan kekunci dan dibiarkan selama lebih kurang lima minit, bilangan bakteria berkurang daripada 2400 bakteria ke 37 bakteria.

Pengarah Urusan ASSB, Ng Kee Beng percaya pengkomersilan teknologi ini mempunyai potensi tinggi dan dapat memberi manfaat kepada industri global yang selama ini telah membelanjakan berjuta-juta ringgit dalam menangani masalah bakteria dan VOC dalam udara.

“Produk ini juga mesra alam dan selamat untuk alam sekitar.

“Anano akan terus berusaha untuk mendapatkan rakan kongsi serta pihak yang berminat supaya Nano-TiO2 ini digunakan oleh setiap orang,” tambah Ng.

DSC 5794

“Selain mesra alam, produk ini dapat menghindar manusia daripada terdedah kepada pencemaran alam terutamanya pencemaran udara,” tegas Srimala.   

Kerjasama USM melalui UHSB dengan Anano ini menekankan kepada perolehan teknologi, perundingan teknikal, persediaan kemudahan dan mengenalpasti potensi inovasi dan pengkomersilan pada masa hadapan.

Hadir bagi menandatangani perjanjian tersebut ialah Pengarah Urusan Kumpulan UHSB, Edwin Jose Gomez mewakil UHSB dan turut hadir juga pegawai-pegawai tertinggi USM dan juga Anano. Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Mohamad Danial Shahri

  • Created on .
  • Hits: 1236

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024