USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

LAKUKAN SEHABIS BAIK DAN TERMAMPU - SIR RICHARD J. ROBERTS

040914-10

PULAU PINANG, 4 September 2014 – “Lakukan yang sehabis baik dan termampu,” demikian kata Sir Richard J. Roberts pemenang Hadiah Nobel dalam Fisiologi dan Perubatan tahun 1993 ketika ditanya mengenai rahsia kejayaan beliau.

“Kunci kepada kejayaan dalam penyelidikan adalah dengan mencari tempat yang bagus untuk menggerakkan idea ketika bekerja atau belajar serta terus memikirkan pelbagai persoalan dan kemungkinan yang bagus sehingga ke peringkat seterusnya,” tambah beliau.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah bertajuk “Why I Love Bacteria” kepada lebih 200 orang staf dan pelajar Universiti Sains Malaysia (USM), Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jambul, Penang Free School dan juga pelajar Kolej Inti Pulau Pinang.

Roberts turut menceritakan bagaimana beliau mula jatuh cinta dengan bidang sains.

“Minat dengan bidang Kimia membawa saya melanjutkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah dalam bidang Kimia Organik di University of Sheffield.

“Kemudian saya mula tertarik dengan bidang Biologi selepas membaca buku ‘Thread of Life’ yang ditulis oleh John Kendrew sehingga membawa saya menjadi sebagai seorang Ahli Molekul Biologi,” tambah Roberts yang juga pelopor dalam bidang Bioinformatik.

“Satu perkara yang berbaloi untuk kita ketahui adalah bakteria ini telah lama wujud iaitu sebelum kewujudan manusia lagi,” kata Roberts, 71 yang mudah dikenali sebagai Rich.

040914-11

“Jika kita dapat mendalami dengan lebih lanjut tentang bagaimana bakteria ini bertindak, saya rasa kita akan mencipta penyelesaian terhadap pelbagai masalah utama yang masyarakat hadapi sekarang,” tambah Roberts.

“Kita telah menyalahgunakan antibiotik setelah sekian lama kerana sebenarnya kita tidak memerlukan antibiotik untuk hentikan penyakit dan terdapat kaedah lain yang dapat digunakan,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian ketika menerangkan mengenai berbagai antibiotik yang disuntik kepada haiwan di ladang sekaligus menjadikan haiwan tersebut membesar dengan lebih sihat.

Turut hadir dalam ceramah tersebut ialah Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan serta pegawai-pegawai utama USM.

Sir Richard berada di sini dalam rangka lawatan rasmi selama empat hari dan berkongsi kepakaran dengan pensyarah-pensyarah USM. Beliau juga turut berkesempatan melawat Pusat Standardisasi Herba, Pusat Biologi Kimia dan Pusat Kajian Samudera dan Pantai USM. - Teks: Nor Rafizah Md. Zain/Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 845

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024