USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MAHASISWA USM PERLU JAUHKAN DIRI DARIPADA RASUAH

070914-1

PULAU PINANG, 7 September 2014 - Mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini dinasihatkan agar tidak mudah terpengaruh dengan gaya hidup yang inginkan kemewahan dalam masa yang singkat.

Menurut Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Negeri Pulau Pinang, Dato' Samarajoo Manikam, mahasiswa perlu bijak dalam membuat keputusan yang relevan dan tepat demi memastikan mereka tidak terlibat sama sekali dalam gejala rasuah ini.

"Gunakanlah kebijaksanaan fikiran dalam menuntut ilmu ini, rasuah adalah satu perkara yang mesti dihapuskan, selain sumbernya juga tidak halal dan tidak berkekalan," katanya semasa menyertai Larian Hapuskan Rasuah – Jangan Beri dan Jangan Terima yang berlangsung di Stadium Olahraga USM pagi ini.

"Walaupun kita sedia maklum, dengan kos sara hidup yang semakin meningkat dan ditambah pula dengan peluang-peluang pekerjaan yang agak terhad, tapi ini bukan bermakna mereka boleh mencari jalan mudah dengan memberi dan menerima rasuah dari mana-mana pihak yang ada kepentingan."

rasuah5

Tambahnya lagi, rasuah tidak hanya dilihat dari aspek pemberian dan penerimaan dalam bentuk wang tunai, tetapi boleh juga dari sudut yang lain seperti pemberian hadiah dan barangan.

"Bak kata pepatah, usaha tangga kejayaan. Kepayahan tetap akan ada kerana dari situ kita akan dapat menilai betapa bermaknanya ilmu pengetahuan. Dan harus diingat yang setiap dari kita ada harga diri yang sangat tinggi.

rasuah6

"Jangan dilupa hasrat kedua ibu bapa kita, ahli keluarga yang ingin melihat kita lebih berjaya sebaik menjejak kaki ke menara gading. Genggam amanat mereka, tunaikan hajat, sempurnakan impian kita tanpa perlu melibatkan perkara negatif dalam diri masing-masing," tambah Samarajoo.

Larian yang melibatkan hampir 1,500 peserta dari pelbagai agensi kerajaan dan swasta, serta badan bukan kerajaan (NGO) termasuk mahasiswa baharu USM Sidang Akademik 2014/2015, turut disertai oleh Timbalan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Dato' Cheah Soon Hai; Ketua Wanita Parti Gerakan Malaysia, Dato' Tian Lian Hoe, dan beberapa kenamaan lain. - Teks/Foto: Mohamad Danial Shahri

  • Created on .
  • Hits: 859

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024