WARGA EMAS ANTARA YANG MENDAFTAR IJAZAH TINGGI
PULAU PINANG, 8 Sept. 2014 - Warga emas dari Bahrain, Abdul Wahab Yusuf Aljawder, 60 adalah antara pelajar baharu yang mendaftar untuk melanjutkan pengajian di peringkat ijazah tinggi Universiti Sains Malaysia (USM).
Abdul Wahab adalah calon ijazah doktor faslasah (Ph.D) bagi kursus Sains Politik di bawah Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh dan telah mendaftar pada bulan Mac yang lalu.
“Saya memilih untuk melanjutkan pengajian di USM kerana mendapat maklum balas yang baik daripada rakan-rakan dan mengetahui tentang status USM sebagai sebuah Universiti yang memegang status Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan (APEX),” kata Abdul Wahab ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Siswa Pelajar Ijazah Tinggi Sidang Akademik 2014/2015 di sini hari ini.
Abdul Wahab yang mempunyai banyak pengalaman dalam bidang pendidikan dan berpencen sebagai guru melahirkan rasa gembira kerana terpilih untuk berada di USM apabila ditanya mengenai pandangan beliau mengenai USM dan Pulau Pinang.
“Bidang Politik dan Pemasaran menjadi minat saya kerana pada masa kini tidak ramai yang faham dan ambil tahu mengenainya,” kata Abdul Wahab yang terpaksa meninggalkan isteri dan tiga orang puterinya di Bahrain bagi mengejar cita-citanya di sini.
Calon Ph.D dari Nigeria, Prince Oluleye Akanni pula berkata, beliau memilih USM disebabkan reputasinya sebagai antara universiti terbaik di Malaysia, selain pengalaman yang dilalui rakan-rakannya yang terlebih dahulu telah menamatkan pengajian.
``Saya perlu melalui proses tapisan yang agak ketat bagi membolehkan pihak universiti dan kerajaan Nigeria memberi pelepasan untuk mengikuti pengajian di luar negara. Saya telah memilih USM dengan menyertakan pelbagai kelebihan Universiti ini termasuk reputasi akademik, ranking, kelayakan kakitangan akademik dan sebagainya.
``Saya gembira kerana permohonan melanjutkan pengajian berjalan lancar dan diberi pelepasan melanjutkan pengajian di USM. Ternyata Universiti ini memang sangat mengagumkan dan saya teruja untuk terus mengembangkan ilmu pengetahuan di sini,’’ ujarnya yang juga pensyarah di Federal University of Technology, Nigeria.
Beliau merupakan calon Ph.D dari Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan (HBP) yang menjurus dalam bidang Pengurusan Projek.
Dalam pada itu, seramai 2506 orang pelajar berdaftar dengan Institut Pengajian Siswazah, USM bagi sidang akademik 2014/2015 merangkumi 665 calon Ph.D dan 1841 calon sarjana bagi program Mod Kerja Kursus/Campuran dan juga Mod Penyelidikan. Ini menjadikan jumlah keseluruhan pelajar ijazah tinggi di USM adalah seramai 1718 pelajar antarabangsa dan 6124 pelajar tempatan pada masa kini.Teks: Marziana Mohamed Alias/Nor Rafizah Md. Zain/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 1182