USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM PERKENAL PROGRAM BARU PASCASISWAZAH

080914-1

PULAU PINANG, 9 Sept. 2014 – Selaras dengan usaha membudayakan pembelajaran sepanjang hayat, Universiti Sains Malaysia (USM) memperkenalkan beberapa kursus baru di peringkat pasca siswazah bagi membuka peluang kepada lebih ramai masyarakat menyambung pengajian mereka.

Naib Canselornya, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, untuk pengambilan pada tahun ini, USM memperkenalkan program Sarjana Amalan Pembangunan Lestari (MDP) yang secara khususnya ditawarkan di Wisma Sejarah, Kuala Lumpur.

Katanya, selain MDP, program lain yang turut ditawarkan di pusat pembelajaran di ibu negara tersebut adalah Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA), Sarjana Komunikasi (Komunikasi Pemasaran Bersepadu) dan Sarjana Sastera (pengajian Penterjemahan).

``Kita sentiasa memastikan mutu dan kualiti program-program yang ditawarkan sentiasa relevan dengan perkembangan semasa. Sebagai contoh, untuk program MDP, kursus yang ditawarkan bersifat global melalui rangkaian dengan universiti luar negara.

080914-2

``Program ini dibangunkan dengan kerjasama Earth Institute, Colombia University, New York yang turut dianggotai oleh rangkaian konsortium 20 universiti di seluruh dunia yang menjalankan program dalam bidang kelestarian dan alam sekitar,’’ ujar beliau.

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas sejurus hadir ke Majlis Sambutan Siswa Pelajar Ijazah Tinggi USM dan menyaksikan bacaan ikrar kira-kira 2000 pelajar baharu di sini semalam.

Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (TNC) Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal, TNC Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan, TNC Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat, Profesor Dato’ Dr. See Ching Mey dan pegawai-pegawai utama universiti.

Omar juga berkata, penawaran kursus tersebut juga memblehkan konsep pembelajaran secara global classroom dapat dijalankan dengan melibatkan akademia ternama dalam bidang alam sekitar, ekonomi dan juga perkara-perkara yang berkait rapat dengan kelestarian.

080914-3

``Kaedah ini adalah yang pertama seumpamanya dijalankan di USM. Para pelajar berpeluang untuk mendengar syarahan dari pakar-pakar dalam bidang masing-masing dan berinteraksi dengan peserta lain yang terlibat dalam global classroom,’ ujar beliau.

Tambah beliau, USM turut melihat keperluan kebajikan pelajar dalam usaha mereka meneruskan pengajian baik untuk meningkatkan pengetahuan atau pun untuk peningkatan kerjaya masing-masing.

``Kepada yang berminat mengikuti pengajian di USM namun dalam masa yang sama mempunyai kesukaran atau halangan dalam apa jua hal, golongan ini boleh menghubungi Institut Pengajian Siswazah (IPS) bagi mendapatkan bantuan atau khidmat nasihat.

``Penawaran beberapa kursus di pusat pembelajaran di ibu negara juga antara inisiatif yang diambil USM bagi membolehkan masyarakat di Kuala Lumpur dan negeri-negeri sekitarnya menyambung pengajian tanpa perlu ke Pulau Pinang,’’ katanya.

Dalam pada itu, Omar turut memperincikan statistik penawaran kemasukan ke sidang akademik 2014/2015 bagi ijazah tinggi yang memperlihatkan sejumlah 1534 pelajar ditawarkan ke program mod kerja kursus dan campuran untuk kedua-dua program sarjana dan ijazah doktor falsafah.

Manakala 972 calon pula ditawarkan mengikuti pengajian di peringkat mod penyelidikan, menjadikan jumlah keseluruhan tempat yang ditawarkan berjumlah 2506 tempat. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa

 

  • Created on .
  • Hits: 1114

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024