USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

TIDAK KESAL TINGGAL USM, SUDAH BERIKAN YANG TERBAIK

DSC 0078

KUBANG KERIAN, 9 Sept. 2014 - ``Saya tidak akan rasa kesal untuk meninggalkan Universiti Sains Malaysia (USM), malah saya berbangga kerana telah mencurahkan yang terbaik untuk menyumbang dalam pembangunan Universiti tercinta ini.’’

Demikian luahan hati bakal pesara USM yang kini sedang menghabiskan tugasnya sebagai Pegawai Khidmat Pelanggan Tertinggi, Khalili Talib, 59 ketika mengungkap bicara berkenaan persaraannya setelah lebih 40 tahun bersama USM. Khalili akan bersara wajib pada Januari tahun depan.

Kakitangan yang berasal dari Kuala Dipang, Kampar Perak ini nyata amat hiba ketika menyingkap sejarah bersama USM, bukan kerana mengenang persaraannya, sebaliknya mengingatkan betapa beliau telah memberikan segala yang termampu untuk sama-sama membangunkan universiti.

Katanya, terlalu banyak untuk diceritakan, apatah lagi kerjayanya bermula dari bawah iaitu sebagai atendan pejabat di Jabatan Pendaftar, menyertai USM pada tahun 1973 dengan kelayakan lepasan SPM. Beliau mula berkhidmat di kampus induk, Pulau Pinang dari tahun 1973 hingga 1983, sebelum ditukarkan ke Kampus Kesihatan, Kelantan.

DSC 0084

Beliau kemudiannya kembali ditukarkan ke kampus induk dari tahun 1991 dan menjalankan tugas di bumi Pulau Pinang sehingga 2013, sebelum dinaikkan pangkat ke jawatan terkini di Kubang Kerian.

``Masa itu sangat mudah dapat pekerjaan. Saya memohon untuk memasuki USM dan tanpa temuduga, saya terus diserap masuk dan bagusnya pada ketika itu penilaian dibuat dengan melihat keupayaan dan potensi pada kakitangan.

``Setelah beberapa tahun bekerja, saya diberi pilihan sama ada untuk dinaikkan ke jawatan pembantu makmal ataupun operator telefon. Saya memilih operator telefon dan sehingga kini saya kekal di bahagian yang sama namun berlainan jawatan,’’ ujar bapa kepada empat cahaya mata ini

Tambahnya, pengalaman bersama USM lebih dari 40 tahun memberi kesempatan kepadanya untuk berkhidmat bersama kesemua enam Naib Canselor USM termasuk Profesor Tan Sri Datuk Hamzah Sendut, Tan Sri Datuk Hamdan Sheikh Tahir, Tan Sri Dato’  Musa Mohamed, Profesor Dato’ Dr. Ishak Tambi Kechik, Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak dan Profesor Dato’ Dr. Omar Osman.

``Kemungkinan besar tidak ramai lagi kakitangan yang berpeluang berkerja dengan kesemua Naib Canselor dan Pendaftar masih ada sehingga kini. Kebanyakan telah bersara dan saya teruja menjadi salah seorang dari mereka. Pelbagai ilmu telah saya peroleh dan saya gembira berkhidmat di sebuah menara ilmu,’’ ujar beliau.

DSC 0092a

Bercerita mengenai perbezaan dahulu dan sekarang, Khalili berkata, keadaan jauh telah berubah dan beliau sendiri telah berupaya menjadi sebahagian tonggak di unitnya yang telah berjaya membangunkan sistem operator bersepadu dan sistematik yang membolehkan hubungan rangkaian talian telefon di USM berada dalam keadaannya seperti hari ini.

``Dulu kita boleh dianggap survivor kerana buat kerja semua bermula dari kosong. Saya masih ingat, urusan surat menyurat pun dilakukan sendiri. Kami angkat guni surat tiap-tiap hari sehinggakan hanya boleh balik rumah pada jam 7.00 petang. Pun begitu kami tidak merungut kerana rasa seronok dengan apa yang dilakukan. Kami bangga menjadi sebahagian yang terpilih melihat perkembangan Universiti dari hanya dikelilingi hutan belantara sehingga gah sebagai Universiti APEX’’ katanya.

Khalili juga berbangga kerana sehingga kini beliau telah menyumbang ke arah pembentukan unit khidmat pelanggan (operator telefon) yang sangat sistematik dan tersusun. Beliau bertanggungjawab mewujudkan persekitaran pejabat yang kemas dan teratur, sekaligus memberikan ruang kerja yang kondusif untuk rakan sepejabat dan kakitangan di bawah seliaannya.

Mengulas pengalaman hidupnya, beliau turut menceritakan bagaimana melalui detik-detik susah dengan berbekalkan pendapatan serendah RM170 sebulan, tinggal di sebuah rumah sewa di Kampung Batu Uban dan keluar bekerja di USM berjalan kaki. Beliau berkata:``Sewa rumah pun masa itu baru RM10, makan nasi sepinggan RM0.50, jadi memang berbeza dengan keadaan sekarang.

``Saya selalu ceritakan perkara ini kepada anak-anak supaya mereka sentiasa ingat susah-senang ibu bapa mahu membesarkan anak-anak. Pun begitu zaman sekarang keadaan jauh telah berubah dan kebanyakan anak muda sudah senang kerana taraf hidup keluarga makin meningkat.’’

Namun katanya, dalam kerancakan arus kemodenan pada masa ini, beliau amat berharap jika sekiranya generasi muda dapat mengambil iktibar kesusahan generasi terdahulu menggembleng tenaga untuk memajukan negara dan dalam konteks USM, membangunkan menara ilmu yang kini sudah melangkaui usia 40 tahun.

``Satu nasihat saya, kepada ibu bapa misalnya, terapkan pendidikan agama yang kukuh untuk anak-anak kita. Hanya dengan asas agama yang kuat dapat membentuk jati diri yang unggul serta baik akhlak dan tingkah laku. Jangan sesekali pisahkan ilmu agama dengan ilmu dunia kerana kedua-duanya saling melengkapi.

``Pada generasi muda pula, bekerjalah bersungguh-sungguh. Jika benar kemajuan sudah ada depan mata sekalipun, berilah tumpuan pada kerja dan berikan hanya yang terbaik. Tidak ramai dari anak muda yang bertuah dapat berkhidmat dengan Universiti dan bagi yang terpilih, laksanakanlah kerja dengan penuh amanah dan anggaplah ia sebagai satu ibadah,’’ ujarnya. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Nor Rafizah Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1607

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024