ASPEK KOMUNIKASI PERLU MANTAP UNTUK KEJAYAAN MASA HADAPAN
KUBANG KERIAN, 10 Sept. 2014 – Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato' Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal meminta mahasiswa baharu memandang serius aspek berkomunikasi termasuklah menguasai bahasa-bahasa lain terutamanya Bahasa Inggeris untuk kepentingan dan kejayaan masa hadapan yang gemilang.
Berucap di Majlis Makan Malam Program Siswa Lestari Sidang Akademik 2014/2015 Kampus Kesihatan USM di Dewan Utama bersama-sama mahasiswa baharu di sini, beliau berkata, pihak USM terus berusaha mencari idea baharu untuk menghasilkan produk yang bermutu dalam pasaran kerja kini yang hanya inginkan yang terbaik dalam semua aspek, apatah lagi kebolehan seseorang itu yang mampu berbahasa Inggeris dengan baik.
Tambahnya, mahasiswa kini bukan sahaja perlu memberi penekanan kepada pelajaran tetapi juga perlu aktif dalam aktiviti-aktiviti luar yang berbentuk kemasyarakatan, kesukarelawan, sukan dan sebagainya.
"Untuk masuk ke USM bukanlah mudah, jadi hargailah peluang yang diperolehi ini dan gunakanlah masa yang ada untuk menimba sebanyak mana ilmu dalam pelbagai lapangan yang ada," tambah beliau.
Pada majlis makan malam tersebut, mahasiswa baharu turut mengadakan pelbagai persembahan seperti nyanyian koir, lakonan dan puisi serta pelbagai bentuk tarian kebudayaan. Selain itu, turut diselitkan ialah penyampaian anugerah dalam beberapa kategori untuk para Pembimbing Program Siswa Lestari (PPSL) dan juga kepada mahasiswa baharu yang menonjol semasa berlangsungnya minggu suaikenal.
Turut sama hadir dalam majlis tersebut ialah Pengarah Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato' Dr. Mafauzy Mohamed, dekan-dekan pusat pengajian, pegawai-pegawai utama universiti serta Pengerusi Majlis Perwakilan Pelajar, Kampus Kesihatan, USM. Teks/Foto: Mohd Rodin Che Yusoff
- Created on .
- Hits: 938